Saturday, July 9, 2011

Layang-layang gamit nostalgia


BERMAIN layang-layang membuatkan Ashwad teringat zaman kanak-kanaknya.


TIDAK dinafikan, zaman kanak-kanak adalah satu pengalaman yang amat menyeronokkan. Pelbagai insiden yang berlaku dalam tempoh masa tersebut sehinggakan ia tidak mampu dikikis daripada memori seseorang.

Bagi penyampai berita stesen Astro Awani (Saluran 501, Astro), Ashwad Ismail, 26, aktiviti bermain layang-layang benar-benar mengembalikan nostalgia zaman ‘hingusannya’ ketika masih menuntut di bangku sekolah lagi.

Kata Ashwad, sekembalinya dari sekolah, dia bersama beberapa orang rakan akan meluangkan masa untuk sama-sama membuat layang-layang menggunakan batang lidi dan juga akhbar lama sebelum berkumpul di kawasan lapang memulakan permainan.

“Namun, zaman moden sekarang ini, kanak-kanak tidak lagi merasai pengalaman membuat layang-layang sendiri kerana semuanya telah siap tersedia.

“Bahkan, bermacam-macam pilihan diberikan peniaga dengan pelbagai rupa bentuk layang-layang yang amat menarik dan berwarna-warni,” kata Ashwad kepada S3 ketika sesi fotografi bersamanya di Taman Metropolitan, Kepong, Selangor baru-baru ini.

Tambah jejaka kelahiran Alor Setar, Kedah itu, kerjaya sebagai wartawan penyiaran yang saban hari tidak lekang berkejaran ke sana sini untuk mendapatkan bahan berita membuatnya berasa penat dan tertekan.

Lantaran itu, tatkala melihat layang-layang berterbangan di langit biru yang luas terbentang, Ashwad berkata, ruang mindanya berasa lapang tanpa perlu memikirkan beban kerja yang sentiasa ‘mengejarnya’ setiap hari.

“Fuh...! Lega rasanya dapat bermain layang-layang. Walaupun terpaksa ‘berhempas-pulas’ dengan arah tiupan angin yang tidak menentu sebelum menaikkannya, namun saya puas dan seronok setelah melihat layang-layang itu berada di ruang udara.

“Begitu santai dan menenangkan. Selepas ini, entah bila lagi saya berkesempatan untuk melakukan aktiviti ini,” soalnya kepada diri sendiri.

Menceritakan keseronokannya pada petang itu, Ashwad memberitahu, cuaca yang baik melancarkan ‘penerbangan’ layang-layang yang baru sahaja dibelinya di pintu masuk taman rekreasi berkenaan.

Ashwad menambah, percubaan menerbangkan layang-layangnya itu tidak semudah yang disangka.

“Selepas tiga kali mencuba, barulah layang-layang saya naik tinggi hingga ke tahap maksimum.

“Mula-mula tu memang geram jugalah sebab layang-layang kanak-kanak sebelah saya naik tinggi walaupun pertama kali bermain,” ujar Ashwad yang merupakan graduan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) itu.

1 comment:

  1. yee samelah saye pun teringat masa kanak-kanak...seronok nye kan
    :p

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: