Friday, July 15, 2011

Kubur semak menyeramkan

pix_middle
MENYEDIHKAN...Rohani menunjukkan keadaan kubur yang dilitupi semak-samun.
MENYEDIHKAN...Rohani menunjukkan keadaan kubur yang dilitupi semak-samun.

SHAH ALAM: Seram, terkejut, sedih dan sayu bercampur baur apabila melihat keadaan tanah perkuburan Islam Kampung Padang Jawa, berhampiran bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di sini, yang ‘subur’ ditumbuhi tumbuhan hijau dan semak-samun sehingga menyakitkan mata memandang.

Selepas menerima panggilan dari seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmat, dia kemudian membawa wartawan Metroplus ke lokasi itu bersama seorang lagi wanita, Rohani Ishak, 25.


Aduan yang dibuat ialah mengenai keadaan tanah perkuburan itu yang semak dan tidak terjaga.

Rohani bukanlah berasal dari kampung itu, tetapi dia tersesat melalui lorong ke tanah perkuburan itu apabila hendak ke JPJ untuk menjalankan urusan.


“Pada Jumaat minggu lalu, saya mempunyai urusan di JPJ Selangor. Dari jauh saya terlihat papan tanda menghala ke JPJ dan terus masuk ke lorong itu.


“Namun, saya agak pelik kerana keadaan jalan yang sempit dan tidak menemui pintu masuk ke JPJ dan yakin saya sudah tersilap lorong saya mengambil keputusan untuk berpatah balik.

“Ketika itu, saya melihat keadaan tanah perkuburan Islam yang sangat menyedihkan di situ,” katanya.


Rohani dengan nada kesal berkata, Islam yang dikenali sebagai agama suci dan bersih tetapi ia tidak bertepatan dengan keadaan tanah perkuburan itu.

“Saya terpanggil untuk membuat aduan kerana memikirkan suatu hari nanti saya juga akan ke alam barzakh, mengapa kediaman (kubur) abadi ini tidak dijaga dan diselenggara?” katanya.


Tinjauan mendapati kebanyakan kubur di kawasan itu masih baru tetapi oleh kerana tiada usaha penjagaan sewajarnya menyebabkan ia semak dan tumbuhan liar tumbuh di kawasan sekitar kubur itu.


Hasil pemerhatian juga mendapati di sebalik semak-samun itu, terdapat kubur lama dan batu nisan yang hampir terbenam dikhuatiri membawa kecederaan kepada sesiapa yang menziarahi kawasan kubur.


Lokasi tanah perkuburan kelihatan seram akibat terlalu semak malah dikhuatiri kerana keadaan semak itu diambil peluang pihak bertanggungjawab termasuk tempat penagih gam atau ganja menjalankan aktiviti mereka di kawasan tanah perkuburan itu.


Lebih menyedihkan terdapat kubur lama yang dihimpit kubur baru sehingga wartawan, Rahmat dan Rohani terpaksa melangkah setiap kubur lama di tanah perkuburan itu ketika melakukan tinjauan.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, tanah perkuburan itu terletak di bawah seliaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Padang Jawa.


“Pihak MBSA bersedia untuk memberikan bantuan perkhidmatan seperti lori dan tong sampah sekiranya penduduk Padang Jawa ingin menjalankan gotong-royong dan pembersihan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: