Wednesday, July 27, 2011

Kuasa hebat Nasha Aziz


BUKAN tidak selesa berbicara soal peribadi tetapi Nasha mahu biarlah ia bergerak seiring dengan kariernya.


AURA dan pesona wanita tinggi lampai ini memang cukup kuat. Walaupun pelakon baru muncul silih berganti, tetapi tiada siapa yang mampu menafikan kuasa yang dimiliki oleh model dan aktres bernama komersial Nasha Aziz ini.

Buktinya, pada majlis The Blue Kebaya Showcase anjuran The Weld dengan kerjasama Rafflesia yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini, kehadirannya memang cukup dinantikan.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk, semua mata terus memandang kepada figura yang cukup unggul di pentas peragaan ini sehinggakan artis lain yang hadir bagaikan ditenggelamkan oleh karisma Nasha.

Tampil anggun menyarungkan kebaya moden biru firus rekaan Iszal dari butik Citra ini, Nasha sememangnya menjadi perhatian pada petang itu.

Seperti biasa, model dan aktres ternama ini menjadi tumpuan lensa kamera apabila jurufoto tidak putus-putus merakamkan wajah anggunnya dengan pelbagai gaya yang cukup menarik.

Tidak menunggu lama, pihak media yang hadir dengan pantas membawa Nasha ke satu sudut untuk menemuramahnya.

Maklumlah, bukan mudah hendak mendapatkan Nasha untuk mengetahui berita terbarunya melainkan hanya dalam acara seperti ini mahupun pelancaran drama atau filem yang ada melibatkan dirinya sahaja.

Apatah lagi, wajahnya juga jarang ditonton di kaca televisyen mahupun di layar lebar sehingga penonton dan peminat setianya sendiri tertanya-tanya ke manakah hilangnya jelitawan pujaan ramai ini.

Lalu, pada acara yang berlangsung di pusat membeli-belah The Weld, Kuala Lumpur merupakan peluang keemasan untuk bertanyakan perihal terbaru Nasha.

Bukan hanya soal kerjaya tetapi juga cerita cintanya bersama Nur Iman Tang Abdullah yang pasti bukan lagi satu rahsia.

Namun, mengenali Nasha, dia bukanlah seorang yang gemar menjaja cerita cinta tanpa sebarang sebab.

Sambil memberikan justifikasi, jelas Nasha, dia tidak mahu dilabelkan sebagai artis yang hanya mahu menjual kisah peribadi semata-mata untuk tatapan umum.

"Bukan saya lokek mahupun tidak selesa apabila mahu berkongsi soal cinta tetapi biarlah cerita itu ada hala tujunya.

"Jika hanya menonjolkan kisah cinta dengan tujuan mahu melariskan akhbar, saya tidak setuju. Saya faham apa yang anda (media) mahu dan kalau boleh, janganlah sampai menenggelamkan karier saya," kata pemilik nama penuh Noraishah Abdul Aziz itu dalam nada penuh diplomasi.

Ditanya tentang hubungannya dengan jejaka mualaf itu, Nasha memberitahu dia masih lagi berkawan dengan Nur Iman dan hubungan mereka tetap baik seperti biasa.

Katanya lagi, hubungan silaturahim sesama insan antara dirinya dan Nur Iman sebagai saudara seagama tidak akan putus sampai bila-bila.

"Semuanya masih berjalan dengan baik dan apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, lebih banyak lampu merah daripada lampu hijau apabila memperkatakan tentang soal perkahwinan," cerita wanita berusia 40 tahun ini dengan maksud yang cukup mendalam.

Menutup cerita itu dan menghormati permintaannya untuk tidak lagi mengulas lanjut berhubung kisah cintanya itu, perbualan diteruskan tentang perkembangan karier seninya.

Dengan pantas, wajahnya terus berseri dan ceria malah cukup rancak berkongsi cerita dengan pihak media pada petang itu.

Hakikatnya menurut peragawati unggul ini, dia tidak pernah menghilang. Malah, Nasha menjelaskan dia masih lagi aktif berlakon.

"Cuma, kalau tiada cerita yang boleh dikongsi, saya lebih selesa mendiamkan diri. Tetapi, diam saya tidak bermakna saya hanya duduk goyang kaki.

"Sebaliknya, saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Supermak yang masih berjalan ketika ini.

"Dalam masa yang sama, saya sibuk dengan beberapa drama bersiri lain dan itulah fokus saya buat masa ini," kata Nasha yang melupakan seketika dunia peragaan apabila sibuk dengan bidang lakonan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: