Friday, July 1, 2011

Kris Coleman pilihan Broadway


BARISAN tenaga kerja muzikal Dreamgirls yang hadir di sidang akhbar yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEGALA spekulasi yang bertebaran tentang watak James Thunder Early akhirnya terjawab apabila pihak Broadway Academy Sdn. Bhd. mengumumkan aktor yang menjadi pilihan mereka untuk membawakan watak tersebut dalam pementasan Dreamgirls.

Bukan calang-calang pelakon iaitu Kris Coleman yang sebelum ini cukup popular menerusi pementasan Jersey Boys yang dipentaskan di Broadway, New York selama lima tahun.

Berbekalkan portfolio Kris yang cukup luas dalam pementasan teater muzikal ternyata memikat pihak Broadway Academy untuk memilihnya membawakan watak yang menjadi perhatian itu.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang apabila ada yang mengatakan watak James Thunder Early itu bakal dibawakan oleh Stephen Rahman-Hughes.

Namun, baik Stephen Rahman mahupun pihak Broadway Academy sendiri lebih selesa untuk mendiamkan diri apabila diajukan tentang kebenaran tersebut.

Bagi Pengarah Urusan Broadway Academy, Casey Koh, pihaknya mahu memilih calon yang benar-benar layak untuk membawakan watak tersebut.

Semuanya adalah untuk memastikan jenama Dreamgirls yang dilabelkan sebagai salah sebuah teater muzikal hebat itu akan terus kekal.

Begitu juga dengan pemilihan Kris yang dilakukan sejak enam bulan lalu dan prosesnya juga kata Casey, bukan dibuat sambil lewa.

Ujarnya lagi, untuk watak James Thunder Early atau lebih dikenali sebagai Jimmy Early dalam pementasan itu, pihaknya telah menilai beberapa portfolio sebelum memilih Kris.

"Sejak dari awal lagi selepas pihak kami mengumumkan akan membawa masuk Dreamgirls ke negara ini, pelbagai spekulasi telah diperkatakan terutama barisan pelakonnya.

"Kami mahu memastikan calon yang dipilih itu benar-benar menepati kriteria setiap watak dalam pementasan ini. Atas alasan itu, uji bakat telah dilakukan dan kami telah memilih yang terbaik.

"Bukan hanya untuk pelakon utama tetapi juga untuk pelakon gantian (understudy) kerana Dreamgirls sebuah pementasan yang besar.

"Seperti Kris juga, dia memang pilihan yang tepat kerana pengalamannya sebelum ini membintangi teater muzikal Jersey Boys yang sememangnya cukup popular di Broadway," jelasnya saat ditanya tentang pemilihan Kris dalam pementasan Dreamgirls terbitan pihaknya.

Casey berkata demikian pada sidang akhbar Dreamgirls yang berlangsung di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pengarahnya, Joanna Bassey dan barisan pelakon teater muzikal itu seperti Cheryl Samad, Elvira Arul, Azura Zainal, Dina Nadzir, Dafi, Tony Eusoff, Ruzana Ibrahim dan Indi Nadarajah.

Menyambung bicara, Casey menjelaskan dengan pemilihan Kris itu juga sebenarnya membawa banyak manfaat kepada ramai pihak terutama tenaga kerja Dreamgirls sendiri.

"Selepas berbincang dengan pihak Broadway di New York, kami merasakan ini adalah peluang terbaik untuk semua pihak yang terlibat dalam pementasan ini untuk belajar sesuatu yang positif.

"Kami masih di landasan yang betul apabila kami memberitahu Dreamgirls merupakan produksi terbitan 100 peratus anak tempatan walaupun hak ciptanya dari Amerika Syarikat.

"Tetapi, kerana mahu menampilkan kelainan dan impak yang tersendiri untuk teater muzikal terbitan kami ini, atas alasan itulah kami menyenaraikan Kris dalam pementasan ini," kata Casey optimis.

Sebelum Dreamgirls, Broadway Academy yang diasaskan oleh Casey dan abangnya, Marvin pernah menerbitkan sebuah lagi teater muzikal dari Broadway, SHOUT! The Mod Musical pada tahun lalu.

Dalam sidang akhbar itu juga, Casey mengumumkan watak Effie Melody White yang sebelum ini dipegang sepenuhnya oleh Elvira Arul juga akan dilakonkan oleh naib juara Malaysian Idol musim pertama, Dina.

Kata Casey, walaupun sebelum ini Dina hanyalah sekadar pelakon gantian untuk watak tersebut, tetapi selepas melihat latihannya, pihaknya merasakan adalah wajar untuk 'menaikkan pangkat' Dina kepada pelakon utama.

"Sepanjang 11 hari Dreamgirls dipentaskan di IB, Elvira dan Dina akan mengambil giliran membawakan watak Effie. Bukan untuk membuktikan siapa yang hebat tetapi lebih kepada memberi peluang bagi mereka untuk menonjolkan bakat masing-masing kepada khalayak.

"Inilah masanya juga buat peminat dan pencinta teater muzikal amnya untuk menonton sendiri kehebatan bakat anak-anak tempatan membintangi sebuah pementasan yang memiliki jenama gah di seluruh dunia," ujar Casey yang merancang untuk membawa dua pelakon Broadway terkenal, Idina Menzel dan Kristin Chenoweth dalam sebuah persembahan istimewa kelak.

Berbicara mengenai latihan pula, Joanna selaku pengarah memberitahu, semuanya berjalan dengan baik dan sesi latihan pun sudah memasuki minggu kesembilan.

Katanya, walaupun cabaran yang digalas itu memang cukup besar dan hebat, namun, berkat kesabaran serta dedikasi semua pelakon, segala yang dirancang menunjukkan hasil yang positif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: