KERJASAMA...(dari kiri) Abdul Wahab, Suriah, Zamzamzairani dan Ghazali pada majlis menandatangani perjanjian dengan Mimos, semalam.
VADS Bhd (Vads), anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Bhd (TM), memasang aspirasi untuk menjadi peneraju dalam industri perkomputeran cloud, bukan saja di dalam negara yang dijangka mempunyai nilai pasaran kira-kira RM250 juta menjelang 2014, malah kawasan serantau.
Bagi mencapai matlamat itu, syarikat berkenaan mengadakan pakatan strategik dengan Mimos Bhd (Mimos) untuk membangunkan landasan pengoperasian untuk perkhidmatan sistem perkomputeran cloud bagi Vads membabitkan nilai RM6 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Vads, Ghazali Omar berkata, kerjasama itu akan membuka jalan bagi pihaknya menawarkan perkhidmatan cloud secara menyeluruh yang disasarkan untuk pelanggan terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelbagai perusahaan lain.
“Kerjasama pintar ini membabitkan fasa pertama untuk kami membangunkan sistem perkomputeran cloud Vads dan dijangka dilancarkan bulan depan. Pada masa ini, kami sedang memasuki proses percubaan.
“Untuk fasa seterusnya, kami akan mengadakan pakatan strategik dengan rakan kongsi berpotensi untuk membangunkan pula aplikasi dan perkakasan bagi perkhidmatan ini,” katanya selepas menandatangani perjanjian perkongsian teknologi dengan Mimos yang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Wahab Abdullah.
Perjanjian itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM yang juga Pengerusi Vads, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd Isa dan Pengerusi Mimos, Datuk Suriah Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Ghazali berkata, perkhidmatan cloud Vads akan disokong rangkaian protokol Internet (IP) berkelajuan tinggi TM serta 14 pusat datanya di seluruh negara.
“Selain itu, kami akan terus mengadakan kerjasama dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) selain persatuan keusahawanan bagi meningkatkan capaiannya kepada komuniti PKS,” katanya.Sementara itu, Abdul Wahab berkata, perjanjian itu adalah yang pertama dijalin antara pihaknya dengan rakan kongsi tempatan.
“Menariknya, platform perkomputeran cloud Mimos didatangkan dengan ciri keselamatan yang dipatenkan. Sebagai pusat R&D (penyelidikan dan pembangunan) negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: