Saturday, July 2, 2011

Khazanah tertua di Kota Rom


COLOSSEUM yang terletak di tengah-tengah kota Rom.


KOTA ini tidak dibina sehari”. Itulah sebahagian daripada kata-kata yang akan sampai ke telinga anda jika melawat Rom, kota yang terletak di tengah Semenanjung Itali.

Ungkapan itu menggambarkan dengan tepat kehebatan kota tinggalan Empayar Roman sebagai gedung seni bina terunggul yang pernah dibangunkan oleh tamadun manusia.

Bangsa Rom cukup dikenali kerana kepakaran mereka di dalam seni pembinaan, bahkan sebahagian daripada apa yang kita kenali sekarang sebagai stadium, teater dan pasar raya adalah warisan dari sentuhan mereka.

Pada masa kini, warisan berusia lebih daripada 2,500 tahun yang terselamat daripada Perang Dunia Kedua itu masih terpelihara dengan baik. Tarikan pelancongan yang ada menjadikan Rom antara tiga destinasi paling popular dikunjungi di Eropah.

Namun untuk menyelongkar kesemua tarikan di kota itu mungkin memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Untuk perjalanan yang lebih menjimatkan, kunjungan ke istana, gereja, dataran air pancut atau bazar membeli-belah perlu dilakukan dengan betul.

Untuk menyelongkar kota terbesar dan paling padat di Itali itu, pelancong boleh melakukannya dengan berjalan kaki.

Bukan sahaja lebih murah malah peluang menghayati seni dan budaya Greco-Roman itu juga menjanjikan pengalaman yang cukup romantik.

Tarikan paling popular yang menunggu pelancong di bandar ibu kota itu adalah Colosseum. Teater bulat itu pernah menjadi pentas hiburan dan medan pertarungan antara pahlawan-pahlawan gladiator dan haiwan buas.

Colosseum yang juga dikenali sebagai Flavian Amphitheater itu dibina oleh Maharaja Vespasian sekitar tahun 72 Masihi dan disiapkan sepenuhnya lapan tahun kemudian, setahun selepas kematian Vespasian.

Struktur setinggi kira-kira 200 meter itu menawarkan lebih daripada 80 pintu masuk yang boleh dilalui pelawat untuk menyelami kehebatan stadium terawal ciptaan manusia.

Colosseum yang mampu memuatkan kira-kira 50,000 penonton merupakan pusat persembahan yang digunakan oleh pemerintah Roman untuk menghiburkan rakyat dan meraih populariti.

Selepas menikmati salah satu daripada keajaiban dunia itu, pelawat boleh bersiar ke beberapa lagi tinggalan yang terletak pada jarak kurang daripada satu kilometer. Antaranya Gerbang Constantine, Bukit Palatine, Forum dan litar perlumbaan Circus Maximus.

Berdiri setinggi 138 meter dengan kubah besar berdiameter 42 meter adalah Gereja St. Peter yang merupakan gereja Katolik terbesar di dunia. Gereja St. Peter Basilica dibina oleh maharaja Rom beragama Kristian yang pertama iaitu Maharaja Constantine di atas Bukit Vatican.

Ia juga dianggap sebagai permata di antara seni bina Rom. Hiasan dalaman gereja ini turut dihiasi dengan hasil seni artis-artis tersohor seperti Michelangelo, Bernini dan Canova.

Sebahagian daripada gereja ini juga boleh dikunjungi secara percuma dengan syarat pelawat mematuhi arahan pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata.

Di bahagian kubah, pelawat boleh menyaksikan pemandangan Dataran St. Peter serta beberapa lokasi berhampiran seperti Muzium Vatican, Istana Sant‘Angelo dan Campo dei Fiori.

Masih ingin berjalan untuk menerokai kawasan di sekitar Piazza? Sebuah monumen batu marmar putih setinggi 135 meter adalah antara tarikan lain yang berbaloi dilawati.

Tugu Peringatan Victor Emmanuel II rekaan Giuseppe Sacconi berdiri sebagai memperingati raja Itali pertama yang menyatukan seluruh rakyat negara itu.

Di Piazza di Trevi, kunjungan pelawat disambut kemeriahan kolam air pancut Trevi yang dianggap paling cantik di Itali. Peluang bagi pelancong bersantai dan merehatkan diri sambil menikmati kesegaran kopi Itali.

Mitos menceritakan pelawat yang ingin mendapat tuah perlu membuat balingan syiling ke dalam kolam dan realitinya kolam tersebut menerima kira-kira RM12,000 setiap hari.

Sekiranya kepenatan, perkhidmatan bas boleh didapati dengan mudah cuma keadaan mungkin sesak pada waktu-waktu tertentu. Pengangkutan teksi pula boleh dikatakan yang paling mahal di Rom tetapi adalah cara paling pantas dan praktikal bagi yang mementingkan masa.

Masa yang semakin singkat di Rom boleh ‘dilanjutkan’ dengan kunjungan ke galeri-galeri muzium yang menyimpan khazanah budaya, hasil seni dan politik negara itu.

Muzium Capitoline adalah antara tempat pengumpulan sejarah terbesar di Rom yang terletak di Piazza del Campidoglio. Kompleks merangkumi tiga bahagian termasuk galeri bawah tanah.

Selain itu, beberapa lagi muzium yang boleh menjadi pilihan termasuk Muzium Vatican, Museo Borghese, Muzium Pasta dan Galeri Nasional Seni Moden.

Kepuasan sebenar melawat Rom tidak akan tercapai sekiranya anda tidak melawat bazar Campo dei Fiori yang terletak di antara teater Pompey dan Sungai Tiber. Tapak perniagaan yang bermula sejak kurun ke-15 itu menawarkan pelbagai barangan untuk dijadikan cenderahati.

Cuma untuk memastikan perjalanan lancar, pelancong seharusnya mengenali serba sedikit adat orang Rom. Salah satu daripadanya adalah penutupan premis perniagaan dan restoran pada waktu tengah hari. Masyarakat Rom sejak sekian lama mempraktikkan amalan tidur seketika pada tengah hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: