|
|
TINGGI lampai, petah dan yakin dalam bertutur. Itu kriteria awal yang muncul dalam minda sewaktu Sasqia mula memperkenalkan diri sewaktu sesi fotografi di Studio Utusan, minggu lalu.
Hadir bagi mempromosikan filem lakonan terbarunya, Senario Ops Pocot, wanita muda dengan tinggi 170 sentimeter ini turut memperkenalkan diri. Baru melangkah dalam dunia lakonan, dia tiada tanda kekok berbicara.
"Saya bermula dengan drama Bilik No.13. Kemudian muncul dalam filem Kongsi menjadi teman wanita Azad Jasmin. Ini adalah kemunculan ketiga saya melalui filem Senario Ops Pocot," ujar graduan jurusan pemasaran ini.
Membawakan watak Azie dalam filem Ismail Bob Hashim, Sasqia menjelaskan karakter tersebut adalah individu yang sangat manja dan tidak boleh berpanas serta gemar mengadu. Namun tidak mengada-ada katanya. Filem Senario Ops Pocot mula ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu.
"Saya reka karakter sendiri. Agak tertekan dan gemuruh juga pada awalnya kerana sewaktu kami berkawad kami perlu berdepan dengan Pengarah Rela (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia).
"Namun anggota-anggota Rela banyak membantu kami dalam menjiwai watak sebagai pelatih Rela. Ia adalah pengalaman yang menarik dan menyeronokkan," ujar wanita berusia 26 tahun itu perihal pengalaman sebulan di set filem tersebut yang menampilkan Diana Amir, Kamal Adli dan anggota Senario iaitu Azlee, Mazlan serta Wahid.
Jujurnya, pemilik nama Nurlisasqia Ahmad Dahuri itu mengaku mempunyai matlamat sendiri dalam bidang lakonan. Bukan hanya mahu bergelar aktres, dia juga mahu mengembangkan bakat menjadi seorang usahawan berjaya.
"Sejak sekolah lagi dan zaman universiti saya memang minat berniaga. Masa di universiti, saya buat bisnes sewa kereta. Memang saya ada cita-cita yang besar dalam perniagaan," ujarnya.
"Lakonan memberi saya proses pembelajaran. Banyak perkara yang saya pelajari baik daripada aspek lakonan, kamera, bunyi serta skrip. Bagi saya bidang ini sangat menarik dan bukan sesuatu yang mudah untuk diterokai," ujar Sasqia yang awalnya menebak menjadi pelakon itu mudah. Namun sebaik sahaja melangkahkan kaki ke dalam bidang tersebut, dia sudah nampak profesion ini tidak semudah yang disangka.
Dalam waktu bidang lakonan kebanjiran wajah-wajah baru yang kadangkala tidak dapat diingati nama mereka, Sasqia menegaskan bahawa kehadirannya dalam lakonan bukanlah sebagai salah seorang pelakon muda yang bersandarkan wajah semata-mata.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: