Wednesday, July 20, 2011

Kemenangan di luar jangkaan


SARAH dan Shazrul mempamerkan kehebatan skil tarian mereka.


PROGRAM realiti Mari Menari musim yang ke-2 terbitan Astro akhirnya menuju kemuncaknya setelah pasangan Sarah atau MM Sarah telah dinobatkan sebagai juara setelah menewaskan pasangan Nita.

Setelah berada selama lima minggu di pentas Mari Menari 2, tiada apa yang lebih menggembirakan buat pasangan adik-beradik iaitu Sarah Diana Michele Durai, 32, dan Shazrul Hudson Ashley Durai apabila dinobatkan sebagai juara.

Memperoleh undian sebanyak 56 peratus, pasangan tersebut berjaya mengetepikan saingan sebuah lagi pasangan iaitu Norny Yusnita Jening, 22, dan Umar Ali Jening, 20, yang sekadar mendapat 44 peratus undian.

Bagaimanapun, langkah kedua-dua pasangan tersebut dalam merebut gelaran juara ternyata bukan mudah kerana masing-masing terpaksa mengharungi cabaran yang begitu getir.

Dalam saingan akhir yang berlangsung di Studio 1 Astro, Bukit Jalil, pada hari Ahad lalu, mereka ditugaskan untuk menampilkan tiga buah tarian menerusi tema yang ditetapkan iaitu tarian Bollywood, Latin dan Fusion Dance.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Sarah mengatakan kemenangan yang diraih oleh mereka adalah sesuatu yang di luar jangkaan memandangkan pasangan Nita atau MM Nita turut menampilkan persembahan yang cukup mantap.

“Layak sehingga ke peringkat akhir adalah satu pencapaian yang terbaik buat kami dan sudah tentu kejayaan yang diraih ini adalah hasil daripada undian para peminat serta sokongan ahli keluarga.

“Malah, usaha kami yang berlatih dari pukul 7 malam sehingga 4 pagi menjelang aksi final ternyata tidak sia-sia. Begitu juga tunjuk ajar yang diberikan oleh kareografer serta komen daripada pihak juri setiap minggu banyak membantu,” ujarnya pada sidang akhbar selepas tamat saingan.

Dengan kemenangan tersebut, pasangan juara membawa pulang hadiah yang cukup lumayan iaitu hadiah wang tunai sebanyak RM150,000, pakej penerbangan dan percutian selama 4 hari 3 malam di Hard Rock Cafe Bali serta trofi Mari Menari.

Sementara pasangan Nita yang muncul sebagai naib juara pula sekadar memperoleh hadiah berupa pakej penerbangan dan percutian selama 4 hari 3 malam di Hard Rock Cafe Bali serta trofi Mari Menari.

Ditanya mengenai perancangan mereka berdua dengan wang kemenangan yang diperoleh itu, Sarah menjelaskan dia dan adiknya sudah memikirkan beberapa rancangan selepas ini.

“Sebahagian daripada wang yang kami peroleh itu nanti akan digunakan untuk membawa ahli keluarga mengerjakan umrah, manakala selebihnya digunakan untuk kegunaan kami sendiri dan membiayai pengajian adik,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pasangan Nita yang sekadar muncul naib juara pula menyatakan mereka berpuas hati dengan keputusan tersebut, meskipun terpaksa akur dengan keputusan yang memihak kepada pasangan Sarah.

Menurut Norny, layak sehingga ke peringkat final sudah pun memadai buat dia dan adiknya. Malah, pada malam itu mereka tidak terlalu fikir untuk menang kerana matlamat utama mereka adalah mahu menghiburkan para penonton.

“Walaupun tewas pada malam ini, ia tidak bermakna kami akan berhenti setakat ini sahaja. Bagi kami, menyertai rancangan ini adalah sebagai permulaan untuk kami meneroka bidang tarian dengan lebih mendalam lagi,” jelasnya.

Menariknya pada acara final tersebut, penentuan juara telah dibuat berdasarkan 100 peratus undian penonton, berbanding pada saingan sebelumnya iaitu 50 peratus markah daripada pihak juri dan 50 peratus undian penonton.

Saingan acara kemuncak Mari Menari 2 diadili oleh empat orang juri iaitu Vanida Imran, Harith Iskandar dan Joseph Gonzalez serta Sofea Jane yang menjadi juri jemputan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: