![]() |
| NANA muncul dengan gaya dan genre baharu yang lebih segar bersempena kemunculan album terbaharunya dengan single pertama berjudul Tak Tahan. |
SETELAH hampir 12 tahun membina nama dalam industri muzik tempatan, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana mengakui kecewa dengan sesetengah pihak yang masih tidak mahu memutarkan single terbaharunya, Tak Tahan di corong-corong radio.
Semasa ditemui pada majlis pelancaran album solo keenamnya di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur, Nana menjelaskan walaupun lagunya itu gubahan penulis lirik dan komposer yang dikenali zaman kini, lagunya itu bagaimanapun masih lagi kurang kedengaran di radio swasta.
“Mungkin lagu itu dimainkan tapi tidaklah sekerap yang diharapkan. Tidak tahu di mana silapnya. Nana rasa kecewa juga kerana walaupun sudah buat perubahan namun radio swasta masih lagi kurang putarkan lagu Nana.
“Kadangkala, Nana sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk bagi segelintir stesen radio mainkan lagu Nana di radio mereka. Hendak kata tidak ubah muzik, single terbaharu Nana ini digubah oleh Sixth Sense, satu kumpulan masa kini yang agak terkenal nama mereka di persada seni,” jelas Nana sedikit muram dan mengatakan dia juga telah berubah kepada genre rock alternatif untuk memberi nafas baharu mengikut aliran muzik kini.
Album solo itu memuatkan lapan buah lagu yang telah berada di pasaran sejak 14 Mac lalu termasuk dua buah lagu baharu iaitu Tak Tahan dan Semakin Jelas.
Tak Tahan merupakan lagu ciptaan Manusia Putih dan Nawfas yang juga merupakan taruhan bagi single pertama.
Selain itu, perubahan imej berani dan segar Nana juga ialah satu langkah baharu bagi empunya diri. Nana yang bergelar ibu tunggal ingin bangkit dalam karier seni dan menghapuskan tanggapan sebelum ini yang mengatakan Nana sering ketinggalan dalam berpakaian mengikut arus fesyen terkini.
“Namun, ia (fesyen) tidaklah berlebihan tapi Nana mahukan sesuatu yang segar kerana risau peminat akan bosan dengan imej yang lama. Tidak kisahlah diterima atau tidak, tapi Nana telah berusaha sebaik mungkin,” tutur Nana yang selesa dengan penampilan yang dibawanya kini.
Mengakhiri kata-katanya, Nana berharap agar pembaharuan yang dilakukan dapat menarik minat golongan generasi baharu agar dapat menerima dan menyokong kariernya sebagai seorang penghibur tempatan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: