Saturday, July 23, 2011

Kecemerlangan anak-anak ATM


PELAJAR cemerlang SPM dan PMR menerima insentif daripada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ATM.


WALAUPUN membesar tanpa ayah sejak lima tahun lalu, Nur Syamimi Amanina Kamdan, 16, bersyukur kerana kebajikan pendidikannya sentiasa mendapat perhatian Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Allahyarham bapanya, Sarjan Kamdan Makon yang bertugas di Markas Staf Stesen Taiping, Perak meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berdarah.

Keputusan cemerlang 7A 1B yang diperolehnya dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu menyaksikan beliau terpilih menerima sumbangan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah RM750.

“Alhamdulillah, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menunaikan cita-cita bergelar doktor,” ujar anak sulung daripada dua beradik yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim, Sungai Petani, Kedah.

Ditemani ibunya, Pegawai Waran 2 Norliza Ismail yang bertugas di Kor Agama Pangkalan Tentera Udara Butterworth, Pulau Pinang, Nur Syamimi Amanina memberitahu, sumbangan itu menguatkan lagi semangatnya untuk terus berjaya dalam pelajaran.

Sejak pemergian ayahnya, tanggungjawab membesarkan Nur Syamimi Amanina dan adiknya, Nur Syuhada Asyikin, 13, dipikul oleh Norliza yang baru dua tahun ditukarkan ke Butterworth dari Taiping, Perak.

“Walaupun ayah tiada, tetapi ATM tetap menjaga kebajikan saya dan adik menerusi bantuan wang pencen yang kami terima.

“Insya-Allah, saya akan tunaikan impian ibu dan arwah ayah yang mahu lihat kami (adik-beradik) menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Sumbangan kecemerlangan TKAT turut diterima Muhammad Zakwan Abu Bakar, 18, yang mendapat keputusan 7A1 dan A2 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menerima wang tunai RM1,500.

Beliau kini melanjutkan pengajian di bidang kejuruteraan di Kolej Mara Banting untuk meneruskan cita-citanya bergelar jurutera kimia untuk dihadiahkan kepada bapanya, Leftenan Kolonel Abu Bakar Musa.

Ujar anak ketiga daripada lima beradik itu, beliau bertuah kerana bapanya sentiasa mengutamakan keperluan pendidikan beliau adik-beradik selain menekankan kepentingan ilmu agama sebagai bekalan hidup.

“Prinsip saya dalam belajar mudah iaitu ikut suruhan agama, jangan lupakan solat selain sentiasa mendengar kata-kata ibu bapa serta ikut nasihat guru,” katanya.


MOHD. NOOR (tengah) dan isteri, Datin Samsiah Abd. Samad semasa meraikan salah seorang pelajar cemerlang.


Jelas Muhammad Zakwan lagi, pangkat yang tinggi bukan penentu kejayaan seseorang (anak) kerana katanya, ramai dalam kalangan rakan-rakannya yang cemerlang dalam pelajaran datang daripada keluarga sederhana dan miskin.

Selain Nur Syamimi Amanina dan Muhammad Zakwan, seramai 98 anak-anak warga ATM dari Zon Utara yang cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM tahun lalu menerima sumbangan sama.

Ia disampaikan oleh Panglima Markas 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Angkatan Tentera Malaysia 2011 peringkat Zon Utara di sini.

Hadir sama ialah Pengarah Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Anuar Sabtu serta pegawai-pegawai kanan Tentera Darat yang lain.

Pelajar cemerlang bertambah

Daripada jumlah itu, 24 pelajar adalah pelajar cemerlang SPM dan 76 lagi cemerlang dalam PMR. Ia merupakan peningkatan kira-kira 25 peratus berbanding hanya 75 pelajar cemerlang (bagi kedua-dua kategori tahun lalu).

Pada tahun ini juga, TKAT telah menaikkan kadar bagi anugerah kecemerlangan akademik iaitu RM750 bagi PMR, manakala RM1,500 bagi SPM berbanding RM500 dan RM1,000 sebelum ini.

Dalam ucapannya, Mohd. Noor berkata, ATM menyediakan pelbagai insentif biasiswa, hadiah pelajaran serta pinjaman tanpa faedah kepada anak-anak warganya bagi memastikan pencapaian mereka cemerlang dalam bidang akademik.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan penghargaan ATM bagi memastikan anak-anak warganya terus berusaha (dalam akademik) bagi mencapai cita-cita seterusnya menyumbang tenaga demi kemajuan negara.

“Anak-anak anggota yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi mempunyai peluang dan ruang menerima insentif-insentif ini, justeru rebutlah peluang dan manfaatkan peluang ini.

“Kepada para anggota pula (ibu bapa), mainkanlah peranan masing-masing dengan sebaik-sebaiknya kerana anugerah ini merupakan pengiktirafan ATM terhadap pencapaian anak-anak anda,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: