Friday, July 15, 2011

Jual dua juta kad

MUDAH...Hasni mencuba kad Touch ‘n Go pada mesin digital yang disediakan  dalam bas Rapid KL.
MUDAH...Hasni mencuba kad Touch ‘n Go pada mesin digital yang disediakan dalam bas Rapid KL.

TOUCH ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB), syarikat penyedia sistem pembayaran elektronik yakin mencapai jualan dua juta kad menjelang akhir tahun ini dipacu penggunaan tinggi khususnya dalam pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hasni Zarina Mohamed Khan berkata, sejak pelaksanaan sistem pembayaran tiket bas baru (NBTS) Februari lalu yang membabitkan 1,200 bas bandar yang dikendalikan Rapid KL, kadar penembusan pengguna setakat ini direkodkan melebihi 70 peratus berbanding satu peratus pada 2004.


Katanya, menerusi NBTS, pengguna bukan saja boleh menambah nilai kad dan membuat pembayaran tambang, malah ia boleh digunakan untuk membeli kad baru.

“Jualan tahunan kad Touch ‘n Go mencecah sejuta kad dan kami jangka ia akan terus berkembang tahun ini menerusi usaha syarikat meningkatkan tahap kesedaran orang ramai mengenai kelebihan menggunakan produk pembayaran elektronik.


“Malah, kami turut mencatatkan transaksi kad Touch ‘n Go sebanyak dua juta sehari,” katanya pada sidang media selepas melancarkan peraduan Touch ‘n Win di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, menerusi peningkatan ketara kadar penembusan pihaknya menjangkakan ia akan terus berkembang kepada 90 peratus dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Hasni berkata, peraduan Touch ‘n Win bermula 20 Jun hingga 20 September menawarkan pelbagai hadiah termasuk iPad 2 dan Samsung Galaxy Mini dan sehingga ini kira-kira 24 juta kad Touch ‘n Go termasuk aplikasi sama untuk MyKad dikeluarkan dengan lebih empat juta daripadanya kekal aktif.


Sementara itu, beliau berkata selain memperkenalkan konsep NBTS, pihaknya juga sedang berunding dengan beberapa institusi kewangan negara ini untuk memperluaskan kemudahan tambah nilai automatik kad Touch ‘n Go menggunakan akaun simpanan dan semasa pengguna.

“Antara bank yang menyediakan kemudahan seumpama itu adalah Hong Leong Bank dan Affin Bank menerusi usaha sama yang dijalin pada 2010 sementara hasil perkongsian sejak 2002 dengan lapan bank tempatan, membolehkan pengguna kad Touch ‘n Go Zing menambah nilai secara automatik menggunakan kad kredit,” katanya.


Mengenai rancangan syarikat itu menyediakan perkhidmatan Touch ‘n Go untuk projek Transit Aliran Massa (MRT) beliau berkata, pihaknya masih dalam perbincangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: