Saturday, July 16, 2011

Joging aktiviti masa lapang Eira Syazira


JOGING merupakan terapi yang dilakukan Eira untuk menyegarkan badannya.


SIAPA sangka biarpun sinonim dengan watak air mata, dramatis jelita, Syazira Shuhaimi atau lebih dikenali Eira Syarzira merupakan seorang yang tegas dalam aspek kesihatan diri.

Baginya, biarpun jadual harian sebagai anak seni semakin padat, dia tidak sekalipun mengambil remeh soal kesihatan yang menjadi keutamaannya.

Sama seperti kebanyakan insan lain yang mahukan tahap kesihatan sentiasa baik, peneraju drama bersiri Anak Mami Mek Ani itu akan memastikan kelapangan jadual hariannya dipenuhi dengan aktiviti riadah yang menyihatkan seperti berjoging ataupun berkunjung ke gimnasium.

“Itulah antara aktiviti yang Eira lakukan untuk memastikan sentiasa segar dan sihat.

“Sebenarnya bukan susah untuk menjaga kesihatan kerana yang penting adalah kemahuan kita sendiri.

“Lagipun sekarang ini sudah banyak tempat riadah seperti tasik rekreasi yang disediakan.

“Jadi semua itu terpulang pada diri sendiri sama ada mahu atau tidak menggunakan kemudahan yang telah disediakan kerajaan,” jelas Eira ketika ditemui S3 di Taman Tasik Permaisuri, baru-baru ini.

Tambah aktres yang kini mula berjinak dengan dunia nyanyian itu, sekiranya jadual hariannya kosong daripada aktiviti seni, dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berjoging di sekitar Tasik Putrajaya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

“Bukan senang untuk mendapatkan masa yang sesuai ke tasik, maklumlah masa kerja yang tidak menentu, jadi apabila ada masa lapang Eira tidak akan lepaskan.

“Bagi Eira dengan menjengah tasik di waktu pagi pasti membuatkan diri kita akan berasa segar dan tenang kerana persekitaran tasik yang nyaman.

“Selain bersenam, pastinya kita dapat merasai nikmat udara segar di pagi hari,” ujar Eira lembut dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya.

Jelas Eira lagi, jika jadual hariannya dipenuhi dengan aktiviti seni, dia akan memastikan dapat mencuri sedikit masa untuk melakukan regangan badan.

“Andai sibuk sangat dengan penggambaran, Eira akan tukar haluan pergi ke gimnasium untuk melakukan senaman kardiovaskular.

“Tetapi jika penggambaran itu terlalu padat dan lokasinya jauh dari Lembah Klang, Eira akan melalukan senaman ringan di sana sahaja seperti naik turun tangga ataupun sit-up.

“Eira tidak kisah walau di mana berada yang penting Eira dapat melakukan rutin itu,” jelas pelakon yang pernah bergandingan dengan Shaheizy Sam dalam filem Ngangkung.

Selain itu, jelas Eira, rutin senamannya tidak akan lengkap sekiranya tidak diakhiri dengan sarapan pagi.

“Bersenam-bersenam juga, pemakanan kita tetap kena jaga kerana ia saling berkait.

“Macam Eira, setiap kali selepas jogging pasti akan mengambil sarapan untuk menggantikan semula tenaga yang telah digunakan.

“Menu wajib untuk sarapan Eira adalah roti bakar, emping jagung berperisa koko krunch ataupun emping jagung sahaja,” jelas Eira yang baru melancarkan album sulungnya, Di Hati Ini.

Bagaimanapun dalam sibuk menjaga aspek pemakanan, Eira menegaskan dia bukanlah seperti sesetengah wanita yang terlalu obses menjaga pemakanan sehingga memudaratkan diri.

“Bagi Eira yang penting pastikan makanan yang kita ambil itu seimbang dan kalau hendak berdiet jangan sampai keterlaluan.

“Diet Eira senang sahaja, pastikan apa yang kita makan itu cukup kandungannya, ada protein, karbohidrat dan yang pasti sayur segar kena ada dalam pinggan,” ujar Eira yang sudah pandai menjamu nasi kandar.

Bagaimanapun jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia tidak pernah sekali menolak nasi untuk dijamu seperti mana yang dilakukan oleh rakan-rakannya yang mengamalkan diet.

“Nasi tetap Eira makan, cuma kuantitinya sahaja yang dikurangkan agar tidak berlebihan, lagipun itu sudah menjadi makanan ruji orang kita dan susah hendak mengelak.

“Namun apa yang Eira amalkan adalah berhenti apabila mula berasa kenyang dan jangan terlalu mengikut nafsu,” tambah Eira dalam mendedahkan petua yang diamalkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: