Friday, July 8, 2011

Jengka dibangun secara sepadu

NAJIB bersama Mohd Isa melihat gambar Tun Abdul Razak ketika melawat projek Felda Jengka Tiga Segi tahun 1972 selepas mengisytiharkan Bandar Tun Abdul Razak pada sambutan Hari Peneroka 2011 di Jengka, semalam.
NAJIB bersama Mohd Isa melihat gambar Tun Abdul Razak ketika melawat projek Felda Jengka Tiga Segi tahun 1972 selepas mengisytiharkan Bandar Tun Abdul Razak pada sambutan Hari Peneroka 2011 di Jengka, semalam.
Bandar Tun Abdul Razak dapat peruntukan RM250j tempoh 5 tahun

BANDAR TUN ABDUL RAZAK: Datuk Seri Najib Razak berkata, Bandar Jengka yang diberi nama baru Bandar Tun Abdul Razak akan dibangunkan secara bersepadu dalam tempoh lima tahun akan datang dengan peruntukan RM250 juta.

Perdana Menteri berkata, antara pembangunan dirancang termasuk pembinaan kompleks sukan, stadium mini, pusat beli belah mini, pusat perniagaan, tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan lain untuk masyarakat FELDA.
Beliau berkata, turut dimajukan projek perumahan generasi baru warga FELDA di setiap wilayah FELDA di seluruh negara bermula tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh satu setengah tahun.
Katanya, Bandar Jengka yang berjaya dalam pelbagai aspek akan diberi suntikan baru supaya lebih segar dan maju setanding bandar lain di negara ini.

“Untuk tiga tahun pertama, sebuah kompleks sukan, stadium dan dewan akan dibina dengan peruntukan RM87.9 juta serta. Di Jengka, 500 unit rumah akan dibina menerusi perumahan warga FELDA generasi baru dengan kos RM50 juta dengan FELDA menyumbang subsidi antara RM20,000 hingga RM25,000 bagi setiap unit rumah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2011 di sini, semalam yang dihadiri kira-kira 30,000 orang.

Projek lain diumumkan termasuk membaik pulih rumah kakitangan FELDA (RM50 juta), pelaksanaan komuniti berpagar (RM10 juta) dengan penambahan keanggotaan RELA daripada 20,000 kepada 40,000 orang dan kompleks terminal pengangkutan bersepadu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk menaik taraf Terminal Nadi Kota dengan kos RM10juta.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad dan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Yusoff Noor.
Najib berkata, dewan serba guna akan dibina di 13 FELDA Jengka dengan peruntukan RM10 juta dan sumbangan enam mesin hemodialisis akan ditempatkan di Hospital Sultan Ahmad Shah, Jerantut dan Jengka.

Beliau berkata, lima teras FELDA yang digariskan ketika sambutan perayaan 50 Tahun FELDA kini menjadi kenyataan apabila masyarakat FELDA menjadi contoh kemajuan masyarakat luar bandar kerana berjaya meningkatkan taraf hidup daripada berpendapatan rendah kepada menengah berikutan kenaikan harga komoditi getah dan sawit.

FELDA juga, katanya, menjadi pemain global apabila aktivitinya diperluaskan ke 13 negara di dunia.

Najib turut mencadangkan sambutan Hari Peneroka tahun depan diadakan di pusat bandar raya Kuala Lumpur sempena pembukaan bangunan baru FELDA setinggi 50 tingkat.

“Bangunan FELDA itu menjadi kemegahan keluarga FELDA di seluruh negara dan simbol kejayaan kita. Sehingga 31 Mei ini, aset FELDA berjumlah RM30 bilion, termasuk mudah tunai RM10.1 bilion dan selebihnya dalam bentuk aset RM20 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan pembangkang membubarkan FELDA sebagai tidak masuk akal kerana entiti itu kini mampu berdikari dengan bajet tahunan sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan.

Malah, katanya, FELDA mampu menjelaskan hutang Bank Dunia dan Kerajaan Pusat 14 tahun lebih awal daripada jadual, selain Koperasi Permodalan FELDA (KPF) mampu memberi dividen 15 peratus setahun kepada ahlinya.

Sementara itu, Perdana Menteri sebak ketika menyampaikan ucapan pada majlis mengenang jasa negarawan ayahandanya Tun Abdul Razak, selepas itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: