MENARIK...aksi pemain ketika kejohanan berlangsung.
SEJAK ditubuhkan pada 27 Januari 2006, jasa Kelab Sofbol Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) terhadap pembangunan sukan sofbol di Terengganu sangat besar, malah dikenali sebagai ‘mesin’ pengeluar pemain sofbol berbakat di negeri Pantai Timur itu.
Kelab ini bukan saja cemerlang dalam pembangunan sukan sofbol, malah berjaya mengecapi banyak kejayaan dalam pertandingan disertai, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Buat masa ini, kelab berkenaan disertai 180 pelajar. Mereka diterajui jurulatih berpengalaman luas dalam sukan sofbol, Saiful Azizi Abdullah, 37.
Menyentuh lanjut kecemerlangan PSMZA dalam pembangunan sukan itu, Saiful berkata, bagi meningkatkan prestasi pemainnya, pasukan sofbol PSMZA diberi pendedahan dalam pelbagai pertandingan, sama ada di peringkat Institut Pengajian Tinggi PT (politeknik) mahupun negeri.
Antara kejohanan yang pernah mereka sertai ialah pertandingan antara politeknik seluruh Malaysia di Melaka (2006), Johor Bahru (2007), Dungun (2009) sebagai tuan rumah dan Seberang Perai, Pulau Pinang (2008).
“Dalam semua pertandingan itu, kami layak ke peringkat suku akhir. Ketika kejohanan di Politeknik Merlimau Melaka pada 2009, pasukan kami mula menunjukkan peningkatan ketara dan berjaya mendapat tempat keempat,” katanya.
Menurut Saiful, pencapaian terbaik pasukan sofbol PSMZA ialah ketika kejohanan sofbol Jemputan IPT di Kuantan dan Kejohanan sofbol di Politeknik Port Dickson. Dalam kejohanan terbabit, mereka berjaya mendapat tempat ketiga.
“Ia prestasi yang memberangsangkan, semua itu hasil komitmen tinggi pemain yang berdisiplin dan gigih ketika berlatih dan bertanding,” katanya.
Seorang pemainnya, Mohd Azrie Ismail, 20, berkata dia bangga menjadi sebahagian daripada ahli kelab dan pasukan sofbol PSMZA, selain dipilih mewakili skuad sofbol Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu serta pasukan sofbol kebangsaan.
“Saya meminati sofbol sejak di bangku sekolah, namun waktu itu lebih terarah kepada bola sepak dan olahraga memandangkan ketika itu kurang pendedahan mengenai sukan ini.
“Pembabitan saya dalam sukan ini sebenarnya masih baru, iaitu ketika mula belajar di PSMZA. Saya berterima kasih kepada PSMZA kerana membuka peluang kepada saya bergiat aktif dalam sukan ini,” katanya.
Mohd Azrie berkata, potensi dan bakat pemain PSMZA bagus dan mereka mampu pergi jauh jika ada inisiatif dan komitmen tinggi daripada setiap pemain.
“Yang penting untuk saya dan rakan lain adalah terus tekun berlatih dan tunjukkan prestasi terbaik ketika menyertai apa juga pertandingan. Itulah resipi untuk berjaya dalam sukan,” katanya.
Rakannya, Mohd Haffiz Mohd Zulkipeli, 20, pula berkata, pemain sofbol memerlukan disiplin dan semangat juang tinggi jika ingin berjaya.
“Pada saya, seseorang yang ingin berjaya dalam sukan ini perlu tekun menjalani latihan selain mematuhi dan mengikuti segala program serta perancangan yang diatur jurulatih.
“Kesungguhan akan membawa kejayaan. Jauhi sikap berputus asa kerana ia mematahkan semangat untuk terus cemerlang,” katanya yang turut mewakili pasukan sofbol Terengganu ke Kejohanan SUKMA.
Mengenai pasukan sofbol PSMZA, tahun ini mereka mendapat perhatian pengurusan SUKMA Terengganu selepas menjadikan kampus politeknik mereka sebagai pusat kecemerlangan sukan sofbol negeri Terengganu.
Ia sejajar dengan objektif negara yang mahu kegiatan sukan di IPT dipertingkatkan dengan hasrat melahirkan visi 30 peratus atlit negara diwakili pelajar dan siswa.
Pegawai Sukan dan Kokurikulum PSMZA, Amran Mohd Yunus berkata, sambutan pelajar terhadap permainan sofbol sangat baik dan ini satu petanda sukan itu mampu menjadi permainan utama di negara satu hari nanti.
“Di sini kami membuka seluas-luasnya peluang untuk pelajar menceburi sukan sofbol dengan harapan dan matlamat menggilap bakat yang boleh ditampilkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.
“Setakat ini Mohd Azrie mewakili pasukan sofbol negara, manakala Mohd Hafiz menyertai skuad SUKMA Terengganu. Kejayaan ini membanggakan kami kerana berjaya mengetengahkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Kini tujuh pemain PSMZA dipilih untuk menyertai kem latihan pusat bagi pasukan Majlis Sukan Politeknik sebagai persediaan ke pertandingan terbuka peringkat kebangsaan yang akan dilangsungkan di Kuantan, Pahang bulan ini.
INFO:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: