Aizat
SELEPAS konsertnya di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat di sana, dengan kehadiran kira-kira 3,000 peminat, kini Aizat Amdan akan turun menghiburkan penyokong setianya di Kota Kinabalu pula.
Penyanyi berbakat berusia 22 tahun ini berhasrat untuk memperkenalkan hasil karya muziknya dengan lebih dekat lagi kepada peminat di sekitar Sabah menerusi persembahan secara langsung terbabit.
Berlainan daripada konsert pertamanya itu, selain daripada mendendangkan barisan lagu daripada album dan single popularnya, Aizat juga akan mendendangkan beberapa lagu nyanyian artis yang diminatinya. Tentunya peminat tertunggu-tunggu corak persembahan Aizat apabila menyampaikan lagu popular artis lain.
Sementara itu, sebagai tarikan tambahan, Aizat juga mengundang dua artis hip hop popular tanah air, Altimet dan DJ Fuzz, mengadakan persembahan bersamanya, manakala untuk persembahan pembukaan, kepercayaan diberikan kepada artis naungan KGE, Amir Jahari, dan artis dari Sabah, Jimmy Palikat.
Bagi peminat di Sabah yang sudah sekian lama mengidamkan persembahan secara langsung dari Aizat, usah melepaskan peluang keemasan ini.
Sesiapa yang berminat boleh mendapatkan tiket di Suria Futsal, Jesselton Point, BB Café dan KDCA, Penampang, serta secara atas talian di www.mall.aizatamdan.com, dengan harga RM35 dan RM50.
Pada masa sama, di samping berhibur, pengunjung juga dapat beramal, di mana RM5 daripada jualan setiap tiket akan disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia, hasil kerjasama KGE dengan pihak Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: