Thursday, July 7, 2011

Guna bahan semula jadi

BUANG KOTORAN...akar beluru digunakan untuk rawatan mandi herba.
BUANG KOTORAN...akar beluru digunakan untuk rawatan mandi herba.

AMALAN berurut untuk memberi kesegaran pada badan dan melancarkan peredaran darah kini dikatakan sudah menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di negara ini.

Tidak perlu mencari bidan kampung, sebaliknya kunjungi saja ke mana-mana spa yang menjadi pilihan, pasti ada rawatan urutan seluruh badan yang ditawarkan.

  • Foto

    BAGAIKAN RUMAH DESA...dekorasi dalaman yang menyerlahkan gaya kemelayuan sepenuhnya.

  • Foto

    PULIH KEYAKINAN...rawatan mandi bunga juga disediakan.

Berurut sememangnya dapat memberikan kelegaan pada segenap otot, urat mahupun anggota badan yang keletihan selepas seharian bekerja.

Terdapat banyak jenis urutan yang boleh dicuba namun antara yang popular bagi masyarakat di negara ini adalah tradisional, Bali dan Thai.


Namun, andai mahu mencuba urutan mencari urat, anda boleh berkunjung ke Spa Lunjur yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.


Biarpun spa berkonsepkan tradisional masyarakat Melayu dimiliki Zai Husman itu baru dibuka tiga bulan lalu, ia sudah- pun mempunyai puluhan pelanggan tetap kerana keistimewaan rawatan yang disediakan.

Jika spa lain hanya menyediakan urutan tradisional Melayu atau aromaterapi, spa berkenaan pula menawarkan rawatan urut mencari urat yang jarang ditawarkan di tempat lain.

Sementara menunggu bilik urutan disiapkan, pelanggan terlebih dulu akan disajikan dengan minuman serai halia yang membantu membuang angin di dalam badan.

Menurut Zai, minuman daripada resipi turun temurun itu juga membantu melancarkan penghadaman, perjalanan darah dan elok untuk wanita yang mengalami masalah senggugut.

Katanya, urutan mencari urat paling sesuai untuk wanita kerana ia dapat membantu mengeluarkan angin daripada badan. Angin yang terkumpul dan tidak dapat dikeluarkan bukan saja boleh menjejaskan kesihatan tetapi turut mengakibatkan pelbagai masalah termasuk sakit urat dan kembung perut.

“Tidak semua spa menyediakan urutan cari urat kerana ia memerlukan tukang urut yang betul-betul berpengalaman saja.

“Wanita yang sering mengalami masalah angin perlu kerap melakukan urutan ini kerana ia dapat membantu mengeluarkan angin yang berkumpul di dalam badan, sekali gus melancarkan penghadaman serta perjalanan darah,” katanya.

Selain urutan, Lunjur turut menawarkan rawatan mandi bunga, mandi dan lulur herba. Untuk mandi herba, ia menggunakan tujuh herba khas seperti serai wangi, nilam sari serta daun pandan manakala rawatan lulur pula menggunakan bahan semula jadi yang dibuat sendiri sepenuhnya.

Kata Zai, dia hanya menggunakan bahan berasaskan alam semula jadi kerana percaya dan yakin dengan kebaikannya.
“Bahan semula jadi seperti herba dan rempah ratus sebenarnya mempunyai banyak khasiat tersembunyi.

“Sebagai contoh, bunga cengkih, lada hitam dan bunga lawang sebenarnya bukan hanya penting dalam masakan tetapi juga dapat mengeluarkan daki, melembapkan kulit serta mewangikan badan.

“Untuk rawatan mandi herba, kami menggunakan akar beluru kerana ia dapat membuang kotoran pada badan. Akar ini sebenarnya sudah digunakan sejak zaman nenek moyang kita lagi,” katanya.

Untuk sauna pula, Zai berkata, pelanggan tidak akan dibiarkan masuk ke bilik sauna tanpa menyapu minyak dabus iaitu sejenis minyak herba yang dapat membantu untuk mengeluarkan peluh.

Minyak itu mempunyai bau yang menyenangkan dan tidak mendatangkan kesan sampingan.

Sempena promosi pembukaan yang dijalankan sehingga Julai ini, spa itu turut menyediakan rawatan wajah pada harga berpatutan iaitu bermula daripada RM40 saja.

Menurut bekas pengurus bahagian sumber manusia syarikat kereta import terkemuka itu, Lunjur juga menyediakan rawatan khas untuk wanita dalam pantang.
Pakej yang dinamakan Adinda itu menyediakan rawatan lengkap seperti urutan, bertungku, bertangas, berbengkung dan mandi air tersak.

“Jika pelanggan tidak dapat datang ke spa, kami juga boleh menjalankan rawatan itu di rumah mereka.

“Perkhidmatan ke rumah itu bagaimanapun hanya untuk pelanggan di sekitar Lembah Klang dan perlu melakukan tempahan terlebih dulu.

“Pakej rawatan ibu selepas bersalin itu disediakan pada harga bermula daripada RM300 hingga RM600,” katanya.

Untuk memberi lebih pilihan, spa itu juga menyediakan khidmat rawatan rambut untuk rambut beruban, rosak atau gugur serta rawatan lengkap untuk bakal pengantin.

Spa berkenaan dibuka setiap hari (Isnin hingga Sabtu) dari jam 10 pagi hingga 8 malam. Ia juga dibuka pada Ahad tetapi khas untuk mereka yang membuat tempahan saja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: