Friday, July 22, 2011

Faisal mahu bayar hutang modal kek




JANTUNGNYA berdegup kencang apabila pengacara majlis Tazneem Faisal Meerakutty menguar-uarkan nama pemenang tempat keempat dan ketiga kategori kek dan biskut pada acara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.

Ketika denyut jantungnya semakin laju, mata dan telinganya memberi tumpuan pada bait-bait kata yang dilontarkan dari bibir mungil pengacara yang berkulit hitam manis itu.

Hanya tinggal dua nama belum diumumkan yang bakal menentukan kedudukannya sama ada di tempat kedua atau di tempat pertama. Apabila Tazneem lancar menyebut nama Faisal Baharom sebagai juara, dadanya sesak menahan sebak. Emosinya tidak dapat dilindungi. Air jernih yang bertakung tumpah tanda kesyukuran. Ternyata penat lelahnya selama ini terbayar dengan kemenangan yang diraih.

Begitulah warna emosi yang terlukis pada wajah Faisal Baharom, 36, apabila dinobatkan sebagai juara kategori kek Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011. Dengan kemenangan tersebut, melayakkannya membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta hamper Tupperware bernilai RM5,000.

Sebelum keputusan pertandingan diumumkan, penulis sempat mendekati Faisal yang pada ketika itu keresahan menanti kek Flora Daisy Cassava ciptaannya dibakar di dalam ketuhar.

Pembantu doktor di Juru, Pulau Pinang itu mengakui dirinya gementar dan gemuruh, namun perasaan tersebut perlu ditempuh kerana saat inilah yang dinanti-nantikan.

“Kerjaya saya sebenarnya bukan dalam bidang ini tetapi saya memang berminat membuat kek dan biskut sejak zaman remaja. Bagi menghasilkan resipi ini, saya melakukan beberapa cubaan bagi memastikan kek ini benar-benar sedap dan mampu menambat hari juri,” katanya yang sempat melelapkan mata seketika dalam perjalanan ke lokasi pertandingan. Apa yang lebih istimewa, resipi ciptaan Faisal menggunakan ubi kayu sebagai salah satu ramuan dalam kek.


CHEF LIZA menyarungkan topi chef kepada Faisal yang berjaya memperoleh tempat pertama kategori kek pada majlis penyampaian hadiah Cabaran Daisy Sehebat Chef sambil disaksikan oleh Norulsakinah (kiri) dan Pengurus pengiklanan Kosmo, Stella Abdullah.


Sebelum keputusan diumumkan, Faisal memberitahu kejayaannya sampai ke peringkat akhir sudah cukup bermakna.

Menurut Faisal, setiap kali mendapat gaji dia akan gunakan wang tersebut untuk mencuba dan mencipta resipi-resipi baru. Saya tidak pernah berhenti mencuba. Ini merupakan cubaan kali kelima dan ia menjadi,” katanya yang sebelum ini cuba membuat beberapa resipi seperti kek asam boi, kek purple berry, kek yogurt apple, biskut kurma badam dan biskut bakul Daisy.

Saat menghias kek, Faisal sebenarnya terasa amat kerdil kerana tiga pesaingnya yang lain, Mohd. Nawawi Alias, 24, Norazaliza Awang, 35, dan Misliha Juki, 42, berpengalaman dalam bidang aising.

“Ketika itu saya rasa susah hati. Tangan saya menggeletar ketika membuat hiasan pada kek kerana terlalu gemuruh. Saat itu teringat pesanan Chef Liza pada kelas mentor yang berlangsung dua hari sebelum hari pertandingan agar bertenang kerana ramai pengunjung menonton aksi saya membuat kek.

Hadiri kelas

“Hadiah kemenangan ini sebahagiannya akan saya gunakan untuk menghadiri kelas menghias kek supaya lebih mahir dan selebihnya saya akan bayar hutang kawan-kawan yang saya pinjam untuk buat modal dalam cubaan membuat kek sebelum ini,” katanya yang menghabiskan lebih RM1,000 sepanjang menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang bermula di peringkat zon.




Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 merupakan aktiviti memasak yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Kosmo!, Minyak jagung Daisy dan Tupperware untuk membantu usahawan-usahawan kecil dan sederhana mengukuhkan serta mengembangkan perniagaan mereka.

Selepas empat minggu Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang pertama kali diadakan ini berlangsung di empat buah zon iaitu Zon Timur di pasar raya Giant Kuala Terengganu; Terengganu, pada 18 Jun, Zon Tengah di pusat beli-belah AEON AU2. Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 26 Jun; Zon Utara di pusat beli-belah Star Parade, Alor Setar, Kedah pada 2 Julai dan Zon Selatan di pasar raya Giant Tampoi, Johor Bahru, Johor pada 10 Julai dan fasa akhirnya di Plaza Shah Alam 17 Julai lalu.

Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Aziz Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Utusan Media Sales Sdn. Bhd., Mohd. Yazid Ahmad; Penolong Pengarang 2 Kosmo!, Lokman Othman; Pengurus Pengiklanan Kosmo!, Stella Abdullah; Pengurus Jenama Daisy, Cecelia Lee dan Pengarah Pemasaran Tupperware Brands (M) Sdn. Bhd., Christine Wong.

Berlainan pula ceritanya dengan juara kategori biskut, Norulsakinah Mohammad Hanan, 27.

Suri rumah yang pertama kali memasuki pertandingan membuat kek dan biskut itu mempertaruhkan resipi biskut Kerang Mutiara Daisy.

“Saya terkejut saat nama saya diumumkan sebagai juara kategori biskut kerana peserta-peserta lain hebat-hebat belaka.


SELAIN bertungkus-lumus membuat kek ciptaannya sendiri, Faisal juga bijak menata rias meja hidangan dengan tema Hari Raya Aidilfitri mengikut konsep yang ditetapkan.


“Resipi biskut yang merupakan ilham saya sendiri dan dicipta tidak sampai seminggu sebelum dibawa bertanding di Zon Selatan,” katanya mengakui rasa gemuruh ketika beraksi di khalayak ramai.

Tambah Norulsakinah, dia langsung tidak mempunyai asas membuat biskut tetapi gemar bereksperimen dengan mencuba resipi-resipi yang baru.

“Memandangkan masa yang suntuk, saya hanya sempat membuat dua kali cubaan sebelum pertandingan hari ini. Apa pun terima kasih pada suami yang banyak membantu menemani saya sepanjang cabaran ini berlangsung.

“Duit kemenangan ini akan saya gunakan untuk percutian bersama keluarga,” ujarnya yang membelanjakan lebih RM1,000 sepanjang petandingan itu berlangsung di peringkat zon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: