Sunday, July 10, 2011

Ecogreen: Enak & berkhasiat


SALAD mee pelangi; gabungan variasi mee organik pelbagai warna.


SLOW food ia a soul food.” Petikan ayat yang terpampang pada dinding utama restoran menangkap perhatian penulis tatkala kaki menjejak ke Restoran Organik Ecogreen.

Tidak sukar untuk difahami maksudnya, tambahan lagi kunjungan ke situ dilayan mesra pemiliknya, Wong Kai Yuen dan isteri, Sherene Soong yang banyak memberi penerangan mengenai manfaat makanan organik.

Beliau yang sudah 15 tahun mengamalkan pemakanan sedemikian percaya, makanan yang baik bukan sahaja kaya dengan nutrien malah perlu bebas sebarang bahan kimia yang boleh mendatangkan mudarat jika diambil dalam tempoh yang panjang. Tambah beliau, makanan yang menggunakan baja kimia bukan sahaja tidak baik untuk badan malah menjejaskan alam sekitar.

Mungkin ada yang menganggap makanan berkhasiat tidak enak. Namun bagi mereka yang pernah berkunjung ke situ, pastinya ingin kembali kerana hidangannya tidak kalah dari segi rasa.

“Kami menghidangkan masakan biasa yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia seperti nasi lemak, tomyam, nasi goreng dan sebagainya. Cuma bezanya, nasi menggunakan beras perang, manakala semua bahan adalah produk organik termasuk daging ayam dan telur,” katanya.

Menurut beliau, semua masakan tidak ditambah bahan perisa MSG, malah sos dan pes masakan dihasilkan sendiri di dapur Ecogreen tanpa tambahan produk konvensional lain. Selain hidangan dipastikan dari sumber yang halal, ia juga sesuai buat pengamal vegetarian. Justeru tidak hairan pengunjungnya terdiri daripada pelbagai bangsa.

Variasi hidangan merangkumi pembuka selera seperti salad ayam epal dan salad mee pelangi pelbagai warna yang menggiurkan. Bukan sahaja segar dan berkhasiat, malah rasanya juga enak. Menu utama pula menyediakan nasi ulam, nasi lemak dan nasi goreng bersama lauk-pauk yang menyelerakan. Antaranya ayam panggang herba dan kari oat ayam yang menggunakan bijirin tersebut sebagai ganti kepada santan. Selain itu, mihun tomyam di situ juga enak kerana rasanya juga setanding dengan hidangan konvensional lain.

Lebih istimewa desert seperti kuih labu yang tidak terlalu manis, begitu juga dengan kuih talam ubi kayu. Dan jangan lupa, sepotong kek lobak merah walnut homemade buatan dapur Ecogreen yang cukup memikat.

Menurut Wong, selain menjamu selera, pengunjung juga boleh mendapat idea bagaimana menghasilkan makanan enak daripada produk organik daripada rangkaian menu di situ kerana ia tidak sukar disediakan.

Pastinya kunjungan ke Ecogreen menjanjikan suatu pengalaman berbeza, apatah lagi kedai menjual produk tersebut hanya terletak bersebelahan, di mana pengunjung boleh mendapat maklumat sebanyak mungkin yang mereka perlukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: