CHEF LIZA ZAINOL sekali lagi memanaskan dapur pada Ramadan ini apabila tampil dengan rancangan masakan Enak Bersama Ramly Daripada Chef Liza. Program itu akan menemui penonton pada setiap Sabtu bermula 16 Julai hingga 4 September ini pada pukul 11.30 pagi di saluran TV2.
Siaran ulangannya pula akan ke udara pada setiap hari Ahad, pada pukul 4.30 petang.
Buat kali keduanya, Chef Liza berkolaborasi bersama Kumpulan Ramly yang terkenal dengan pengeluaran daging burger dengan mempelbagaikan resipi menggunakan produk jenama itu.
“Rancangan masakan 16 episod ini bakal menyaksikan beberapa produk keluaran Ramly termasuk lapan produk terkini digunakan untuk 32 resipi hasil cetusan saya sendiri.
“Lebih menarik, program ini akan dimeriahkan lagi dengan kerenah dapur 15 orang peminat masak-memasak yang sebahagiannya adalah tokoh-tokoh terkemuka negara,” kata Chef Liza pada majlis pelancaran program tersebut di Angkasapuri baru-baru ini.
Hadir sama ialah Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn. Bhd., Datuk Ramly Mokni dan Pengarah Berita Hal Ehwal Semasa RTM, Datuk Jumat Engson.
Antara tokoh yang bakal menjadi tetamu Chef Liza dalam program itu ialah Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, pemain boling negara, Shalin Zulkifli dan dramatis, Kenchana Devi.
Dalam pada itu, pada program kali ini, Chef Liza turut membawa penonton menjelajah beberapa destinasi menarik di Cameron Highlands serta sekitar Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau yang turut bertindak sebagai penerbit rancangan itu turut memberi ulasan tentang masakan-masakan yang bakal menemui penontonnya. Chef Liza memberitahu, sebenarnya terdapat banyak produk keluaran Ramly berpotensi untuk diubah suai menjadi resipi yang istimewa.
Lebih-lebih lagi dengan lapan produk yang baru dipasarkan itu antaranya Burger Ayam Oblong Klasik, Burger Lembu Oblong Klasik, Burger Kambing Oblong Klasik, Burger Ayam Rasa Panggang, Burger Lembu Rasa Pang gang, Bebola Sotong, Tasty Chili dan Tasty Black Pepper.
Misalnya, untuk episod pertama, beliau akan menampilkan masakan Ikan Pollock Asam Pedas menggunakan produk Filet Ikan Tempura. Sementara resipi Sayur Seczhuen Bebola Sotong pula menggunakan Burger Daging Rasa Panggang.
Chef Liza juga menjadikan resipi yang dinamakan Pai Telur Puyuh tampak unik. Beliau dilihat mempelbagaikan produk Burger Lembu dan Burger Ayam Rasa Panggang untuk masakannya. Hasil masakan itu boleh dilihat pada episod keenam rancangan ini.
“Jika dilihat kembali pada menu-menu saya yang menggunakan produk keluaran Ramly, saya sebenarnya telah menyuntik semangat 1Malaysia pada masakan saya.
“Ia tidak bertumpu pada makanan Melayu saja malah ada masakan Cina dan India,” ujar beliau.
|
|
Satu juta penonton
Kata Chef Liza, jenama Ramly yang diasaskan pada tahun 1984 sangat dekat dengan beliau.
“Saya kenal (Ramly) sejak kecil terutama burgernya. Selepas tujuh hingga lapan tahun berkecimpung dalam bidang masakan, saya fikir mengapa tidak saya berganding bahu dengan Kumpulan Ramly untuk menerbitkan rancangan masakan dan akhirnya impian itu tercapai,” imbasnya.
Ditanya mengenai keyakinannya untuk menarik lebih ramai penonton pada rancangan kali ini, beliau optimis mampu mencapai rating sebanyak satu juta penonton.
“Rancangan ini bukan saja sesuai buat golongan suri rumah malah pada wanita yang berkerjaya dan tidak lupa juga kepada peniaga-peniaga jualan masakan yang menggunakan produk keluaran Kumpulan Ramly,” katanya.
Dalam pada itu, Ramly yang mewakili jenamanya percaya semua resipi yang dihasilkan daripada air tangan Chef Liza tidak akan mengecewakan para penonton.
“Semua sentuhannya (masakan) dapat disediakan dengan mudah dan sangat sesuai untuk penonton yang berkarier yang selalunya kesuntukan masa menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa nanti,” ujarnya.
Melalui rancangan itu juga, Ramly berharap dapat memperkenal secara meluas lapan produk baharunya kepada para pengguna di seluruh negara.
Berhubung dengan perkembangan bisnesnya pula, beliau memberitahu, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. menyasarkan peningkatan jualan sebanyak sekali ganda menjelang 2015 kepada RM2 bilion berbanding jualan tahunan sebelum ini yang berjumlah RM1 bilion.
Jenama Ramly kini telah menembusi pasaran beberapa negara Asia seperti Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: