Thursday, July 14, 2011

Bongkar kes di Ladang Gadong


AKHTAR TAHIR (tengah dan berkopiah) bersama barisan pendakwaan dan pembelaan melawat Ladang Gadong, Banting tempat Sosilawati dan tiga yang lain dibunuh 30 Ogos tahun lalu.


SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu penahanan empat lelaki termasuk tiga yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Banting dekat sini bermula daripada siasatan satu kes pembunuhan lain di Gombak.

Saksi pendakwaan ke-27, Pegawai Staf Unit Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supritendan Dennis Leong Sung Kuai (gambar kecil) berkata, pasukannya menahan T. Thilaiyagan, 20; R. Matan, 21; R. Khatavarayan, 31, dan U. Suresh, 27, selepas mengunjungi ladang itu pada 9 September tahun lalu.

Thilaiyagan, Matan dan Khatavarayan serta bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, merupakan tertuduh dalam kes bunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Suresh, seorang pekerja ladang telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Sung Kuai berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Ketika menjawab pemeriksaan balas oleh peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Sung Kuai berkata, pada peringkat awal tangkapan itu dibuat berhubung kes bunuh di Gombak.

“Apabila saya pergi ke ladang itu, saya turut menjalankan siasatan dengan satu kes bunuh di Gombak. Pada masa sama, kami juga menyiasat kehilangan Sosilawati di situ,” katanya.

Sung Kuai berkata, sehubungan itu beliau tidak memberi butiran mengenai kes kehilangan Sosilawati dalam laporan polis yang dibuat ketika menahan Thilaiyagan, Matan, Khatavarayan serta Suresh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: