Tuesday, July 12, 2011

Berjaya kumpul pelakon hebat

pix_gal0
Mamat sedia tempuh cabaran, yakin Rock Ooo... dapat sambutan

PENGARAH Mamat Khalid menegaskan, filem susulan Rock yang pernah mencuit hati peminat pada 2005 tidak akan dihasilkan seandainya pelakon utamanya, Que Haidar, enggan terbabit sama dalam judul terbabit.

Berulang kali dia meluahkan kenyataan itu, membayangkan betapa harapannya begitu tinggi untuk melihat Que kembali memegang watak Amy Mat Piah. Maka tidak hairanlah, apabila baru sekarang kesinambungan filem berkenaan yang dihasilkan menggunakan Rock Ooo... dapat dibikin, walaupun skripnya sudah pun siap enam bulan selepas filem pertama selesai menjalani penggambaran.
Umum mengetahui pelakon berbakat itu pernah mengumumkan persaraannya daripada bidang lakonan hampir dua tahun yang lalu. Pelbagai helah dan pujukan sudah dilakukan, akhirnya Mamat berjaya menarik kembali Que menyertai projek filem terbabit, yang kini dalam proses penggambaran sekitar Ipoh, Perak.
“Terus terang, memang filem Rock Ooo... tidak akan diteruskan sekiranya saya gagal menarik Que melakonkan kembali wataknya, Amy Mat Piah. Memang saya tidak ada pilihan lain kerana saya yakin, hanya Que yang boleh membawakan watak itu.

“Saya mengenalinya sebelum dia terbabit secara langsung di dalam dunia lakonan dan saya tahu kekuatan yang ada pada dirinya. Walaupun dia sudah hampir dua tahun tidak berlakon dan meninggalkan terus aktiviti seni, sudah tentu skil lakonannya merosot. Namun saya bersedia menempuh cabaran itu,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem terbaru arahannya itu di Ipoh, baru-baru ini.

Menurut Mamat, cukup sukar untuknya mengembalikan semula sentuhan berbisa pelakon utamanya itu selepas hampir dua tahun tidak beraksi di depan kamera dan dia tidak berselindung menganggap Que seperti kayu apabila mula-mula berlakon semula.

“Hari pertama, memang saya nampak dia begitu runsing apabila diminta berlakon, memang seperti kayu dan saya tidak menyalahkannya. Saya tahu jiwanya sangat rapuh dan saya harus menjaga seorang yang berjiwa rapuh agar tidak menekan dirinya.
“Hari kedua dia menangis kerana masih tidak dapat mencari karakter, tetapi selepas mendapat kata-kata semangat daripada saya dan pelakon lain, alhamdulillah dia kembali mendapat jiwa lakonannya, malah boleh membawanya lebih baik daripada apa yang saya jangkakan,” katanya.

Biarpun tidak ramai yang menyedari kewujudan filem Rock sebelum ini, namun selepas filem itu disiarkan di televisyen tiga tahun yang lalu, maklum balas cukup positif diberikan masyarakat, lebih-lebih lagi ia ditunjangi pelakon berbakat besar seperti Que, Khir Rahman, Hasnol Rahmat dan ramai lagi.

Kata Mamat, keseronokan bekerja apabila hajatnya untuk mengumpulkan kembali pelakon berjiwa besar berjaya disempurnakan dan menjadikan kerjanya lebih ringan. Apabila semuanya sudah berada di hadapan mata, kebebasan membentuk perwatakan terletak di tangan pelakon itu sendiri.

“Saya berbangga dan berbesar hati apabila semua pelakon yang sudah saya bayangkan semuanya saya dapat. Mereka antara pelakon yang begitu serius di dalam bidang lakonan.

“Apabila saya mengkelaskan mereka sebagai pelakon yang hebat, kerana mereka boleh melakonkan peranan komedi dengan baik, begitu juga mereka boleh melakonkan watak sedih dengan baik. Filem ini bukan saja cerita komedi tetapi pelbagai emosi wujud di dalamnya, walaupun 80 peratus daripadanya bersifat kelakar,” katanya mengenai filem yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada pertengahan tahun 2012 itu.

Pertaruhkan elemen hiburan

HARAPAN menggunung Mamat terhadap filem ini bukan sekadar omong kosong, justeru pengalaman lalu yang mengajarnya mengenai segala hal dalam industri digunakan sebaik mungkin. Ketika yang sama, kejayaan dan kegagalan bukan lagi taruhan, tetapi kepuasan berkarya dan memberi hiburan kepada penonton adalah misi utamanya.

“Saya semakin faham hala tuju industri filem tanah air dan sebab itu saya boleh nampak filem ini bakal berjaya apabila ia ditayangkan nanti.

“Saya tidak pernah kecewa dengan filem saya, sebaliknya ia banyak mengajar saya. Jika penonton berubah selera, ia sesuatu yang sudah ditakdirkan, namun perlu diingatkan elemen hiburan yang ada di dalam filem ini sangat tinggi dan itulah taruhan saya,” katanya.

Kata Mamat, Rock Ooo... berdiri dengan sendirinya dan bagi peminat yang tidak pernah menonton Rock dulu, mereka masih boleh memahami keseluruhan cerita kali ini. Ia juga diselitkan dengan babak imbas kembali. Mamat cuba menyelami jiwa dan kemahuan remaja hari ini untuk dimasukkan di dalam filem terbabit.
Ujar pengarah berkaliber ini, filem itu juga banyak menceritakan pengalaman remaja berbanding dengan filemnya sebelum ini.

Kisah di dalam filem lalu sebenarnya tidak begitu mencukupi, namun penonton cukup meminati paparannya sebagai mengimbas kembali pelbagai kenangan lampau.
“Jika saya ingin ketengahkan semua cerita rock ini, sebenarnya ia terlalu banyak, sebab itu jugalah saya tampil untuk sekual Rock Ooo... ini.

“Filem kali ini begitu melonjak daripada skrip asal apabila banyak idea dan mood yang perlu kita ceritakan pada sekitar era 80-an lalu. Saya yang merasainya dan sepatutnya sayalah yang harus berkongsi apa yang kami pernah lalui dulu tanpa melupakan nilai hiburan yang perlu ada di dalamnya.

“Penggambaran filem ini menjadi lebih baik daripada skrip yang saya buat dengan kehadiran pelakon hebat seperti Que sebagai Amy Mat Piah, disokong pula pelakon lain seperti Khir (Jijo), Soffi Jikan (Zul Kapan), Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah) dan Azmi Black (Mi Black).

“Setiap frame sangat dititikberatkan untuk menjaga kualiti penghasilannya. Setiap filem harus berdiri kukuh untuk menuju ke zaman kegemilangan filem Melayu yang sebelum ini pernah kita rasai. Dengan pungutan filem yang cukup mengejutkan masa kini, saya rasa kita kini kembali menuju ke zaman kegemilangan filem Melayu,” katanya yang mengadakan penggambaran filem itu di sekitar Taiping, Kuala Terong dan Ipoh.

Sinopsis

KESINAMBUNGAN bagaimana watak Amy Mat Piah (Que Haidar) untuk menggabungkan kembali kumpulan Rimba Bara setelah Zul Kapan, penyanyi utama mereka, dilamar oleh Luncai Emas untuk menghasilkan album Black Metal bersama kumpulan Malaikat Maut. Justeru beliau ingin menyatukan kembali Rimba Bara menjadi band yang popular. Semangat ahli kumpulan Rimba Bara dipupuk semula dan mereka bertekad untuk meneruskan perjuangan di ibu kota dan di kampung. Mereka harus mencari jalan penyelesaian untuk setiap rintangan yang datang bagi merealisasikan impian untuk menjadi kumpulan rock terkenal di persada seni tanah air. Di dalam misi mereka itu pelbagai rintangan yang dihadapi dan akhirnya mereka berjaya memasuki ke Anugerah Juara Lagu 1989 bergandingan bahu dengan Search, Wings dan May.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: