David de Gea
ALEX Ferguson melontarkan amaran terhadap bintang muda yang baru dibelinya, David de Gea bahawa dia belum terjamin sebagai penjaga gol pilihan utama di Manchester United.
Pemain Sepanyol itu menyertai United dari Atletico Madrid selepas beraksi buat Sepanyol pada Kejohanan B-21 Eropah dan dijangka mengisi kekoso�ngan ditinggalkan oleh Edwin van der Sar yang bersara hujung musim lalu.
Namun dengan kehadiran Anders Lindegaard Januari lalu dan pemain muda,
Ben Amos bertindak cemerlang menghalang lawan ketika United menang besar 7-0 ke atas Seattle Sounders pada perlawanan pramusim di Amerika Syarikat,
kedua-duanya nyata memberi saingan sengit terhadap De Gea.
Ferguson berkata:
“Memang jelas kami membeli David de Gea sebagai pilihan utama seperti yang saya bayangkan.
“Tapi Anders Lindegaard dan Ben Amos mungkin menganggap mereka ada peluang dengan persaraan Van der Sar.
“Bagi saya, ia sesuatu yang terbuka luas.
“De Gea akan bermain Sabtu ini (awal pagi Ahad) menentang Chicago Fire tapi mereka akan mendapat peluang masing-masing dan keputusan mengenai siapa yang akan memulakan musim bergantung bagaimana De Gea menyesuaikan diri.”
Pemain yang dilahirkan pada 7 November 1990 di Madrid itu, memulakan kariernya pada usia 10 tahun dengan Atletico Madrid dan meningkat menerusi sistem akademi kelab itu sebelum melakar penampilan sulung di peringkat senior pada 2009.
Selepas menjadi penjaga gol utama Atletico, dia membantu kelab itu memenangi kedua-dua Liga Europa dan Piala Super Eropah dan persembahan konsisten dipamerkannya menarik minat United.
Dia menghabiskan musim pertamanya sebagai pemain profesional buat Atletico Madrid B dalam Segunda Division B.
Dengan penjaga gol utama, Sergio Asenjo berada di luar negara kerana tugasan antarabangsa pada Piala Dunia B-20 Fifa 2009, De Gea dipanggil ke pasukan senior sebagai pelapis kepada Roberto.
Dia melakukan penampilan sulung buat pasukan utama Atletico pada usia 18 tahun pada 30 September 2009, masuk sebagai pemain gantian apabila Roberto mengalami kecederaan selepas 26 minit pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang FC Porto di gelanggang lawan dan De Gea melepaskan dua gol ketika Atletico tumpas 0-2.
Kecederaan Roberto bermakna De Gea diberikan penampilan sulung dalam La Liga tiga hari kemudian di gelanggang sendiri menentang Real Zaragoza, dia menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-19 tetapi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan sepakan Marko Babic ketika pasukannya menang 2-1.
Selepas beberapa kesilapan Asenjo dan kehadiran Quique Sanchez Flores sebagai pengurus, De Gea menamatkan musim 2009-10 sebagai penjaga gol nombor satu. Bermula dari situ, kariernya terus meningkat dan kini berdepan lebih banyak kegemilangan di Old Trafford.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: