![]() |
| AIRIN Zainul (tengah) bersama-sama pengacara tetap Bella dan wakil Bvlgari (dua dari kanan) di majlis pelancaran wangian terbaru jenama tersebut di Suria KLCC, baru-baru ini. |
WALAUPUN baru berusia setengah tahun, Bella rancangan bual bicara yang menjadikan wanita sebagai fokus siaran mereka berjaya menarik perhatian jenama terkenal dunia, Bvlgari untuk menaja rancangan berkenaan.
Rancangan berbahasa Inggeris itu nyata mempunyai kandungan yang mantap dan memenuhi cita rasa penonton sekali gus menjadi pesaing kepada rancangan seumpamanya.
Siapa sangka dalam tempoh yang terlalu mentah, Bella telah diiktiraf oleh Bvlgari sebagai satu rancangan yang dilihat mempunyai potensi dalam menyerlahkan bakat dan kebolehan kaum hawa semasa majlis pelancaran wangian terbaru keluaran jenama terkenal itu, Mon Jasmin Noir di Suria KLCC baru-baru ini.
Mengulas berkenaan dengan pengiktirafan itu, Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dan teruja.
Baginya, itu adalah satu penghormatan yang telah diberikan oleh pihak luar kepada produk tempatan yang nyata terlalu sukar untuk diperolehi.
"Sudah tentu saya amat berbangga dengan pengiktirafan yang diberikan ini. Bukan mudah untuk jenama terkenal dunia memberikan pengiktirafan sebegini kepada produk tempatan.
"Pastinya ia memberikan sinar kepada kami untuk terus berusaha memastikan pengisian Bella adalah yang terbaik.
"Selain itu, dengan pengiktirafan ini juga menaikkan semangat kami untuk terus melahirkan rancangan-rancangan yang lebih berkualiti di masa hadapan," katanya ketika ditemui Hits pada majlis pelancaran berkenaan.
Bella merupakan rancangan terbitan ntv7 yang mengupas isu-isu wanita melalui pendekatan bual bicara dan bersiaran pada pukul 11.30 pagi, setiap Isnin sehingga Jumaat manakala setiap Ahad, 1.30 petang.
Tambah Airin lagi, Bella yang mula bersiaran sejak Januari lalu menunjukkan peningkatan rating yang baik setakat ini.
"Setakat ini penonton Bella meningkat sehingga mencecah 100,000 orang dan kami yakin jumlah itu akan terus meningkat pada masa hadapan.
"Apa yang penting kini adalah pengisian Bella perlu lebih baik dalam mendekati penonton," jelasnya.
Ujar Airin lagi, apa yang menjadi pemangkin kepada kejayaan Bella adalah barisan pengacaranya yang berjaya menghidupkan rancangan berkenaan.
"Saya lihat kolaborasi di antara Daphne Iking, Elaine Daly dan Deborah Henry banyak membantu Bella.
"Keserasian dan cara mereka berjaya menarik ramai wanita untuk mendekati Bella dan tidak lupa produksi Bella sendiri yang begitu komited untuk menjadikan ia sebagai program bual bicara wanita terbaik," ujarnya.
Dalam usaha memantapkan lagi rancangan bual bicara itu, Bella turut menampilkan muka baru sebagai pengacara bersama yang digandingkan dengan tiga pengacara jelita sedia ada rancangan tersebut.
Kemasukan Lisa Wong untuk mengacarakan siaran hari Ahad Bella dilihat memberi satu lagi sinar untuk Bella terus gagah berdiri sebagai program bual bicara tersohor.
"Dengan adanya Lisa, ia menjadikan Bella seolah-olah lengkap. Saya lihat Lisa sendiri begitu teruja dan bersemangat dengan segmen yang diberikan kepadanya," komen Airin berkenaan kehadiran Lisa untuk bersama-sama mengemudi Bella.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: