Monday, July 11, 2011

Bayar RM30,000 untuk hamil


RAMAI ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi seorang anak. – Gambar hiasan


KATA orang, anak itu penyambung zuriat dan pengikat kasih sayang. Anak juga dianggap sebagai anugerah yang tidak ternilai harganya. Malah, jika ditanya kepada para ibu bapa, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk anak mereka.

Begitu sekali kasih yang dilimpahkan kepada si anak. Bagi pasangan yang baru melangkah ke alam perkahwinan, soalan ‘sudah ada isi’ antara soalan wajib ditanya setiap kali berkumpul bersama sanak-saudara.

Bagaimanapun, tidak semua pasangan yang mendirikan rumah tangga cepat dikurniakan anak. Ada yang terpaksa menunggu lama dan ada juga yang perlu menjalani proses klinikal yang rumit dan menelan kos tinggi.

Anak tunggal

Seorang ibu muda yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 29, berkongsi pengalaman tentang cabaran yang terpaksa dilaluinya sebelum dapat bergelar ibu.

Berkahwin pada usia 23 tahun, Maria dan pasangannya tidak pernah meletakkan tarikh tertentu untuk menimang cahaya mata.

Jika ada rezeki, mereka bersyukur jika dikurniakan anak dalam tempoh terdekat supaya dapat berehat apabila usia menginjak umur pencen kelak.

Keluarga kedua-dua belah pihak turut mengharapkan perkara yang sama memandangkan Maria merupakan anak tunggal manakala suaminya satu-satunya anak lelaki daripada tujuh beradik.

“Tiga bulan bergelar menantu, ibu mertua mula bertanya sama ada sudah ada tanda-tanda hamil atau belum.

“Apabila jawapan saya belum lagi, daripada air mukanya, saya tahu dia hampa. Keadaan itu berlarutan sehingga usia perkahwinan kami genap setahun.

“Malah, setiap kali pulang ke kampung suami, ibunya akan bertanya soalan sama. Saya agak tertekan apabila soal anak dibangkitkan. Sebagaimana dia hampa, hati saya lebih kecewa apabila haid datang setiap bulan,” ujar Maria.

Tekanan yang diterima Maria bukan sahaja daripada keluarga mertuanya tetapi ibunya juga. Namun, menurut Maria ibunya lebih terbuka dan memahami tekanan yang diterimanya daripada keluarga mertua.

Genap tahun kedua perkahwinannya, Maria masih belum hamil. Masa itu, pelbagai cara cuba dilakukannya demi mendapatkan anak. Daripada berurut, mengambil makanan kesihatan, ubat-ubatan tradisional dan penjagaan makanan, semuanya telah dilakukan.

Ujian

Katakan sahaja di mana perlu mengurut, Maria dan suaminya sedaya upaya berikhtiar untuk mencuba. Maria pernah menjalani ujian kesuburan dan doktor mengesahkan dia sihat untuk mengandung.

Faktor umur juga sepatutnya tidak menjadi masalah kerana suami Maria hanya tua tiga tahun daripadanya.

“Mungkin rezeki belum berpihak kepada kami. Apa yang kami boleh buat ialah bersabar dan berusaha.

“Pernah juga saya terdengar ada yang mencadangkan supaya suami saya berkahwin lain. Ipar duai pula mula bercakap macam-macam.

“Status saya sebagai anak tunggal sering diungkit sebagai salah satu tanda ketidaksuburan saya.

“Ketika itu hanya Allah yang tahu bagaimana sedihnya hati saya. Suami juga tertekan dengan keadaan ini.

“Dia cuba pertahankan saya jika ada yang memerli, tetapi dalam masa yang sama, dia juga mahu menjaga hati ibunya.

“Ada suatu hari, kami bergaduh besar mengenai soal anak hinggakan saya berkeras mahu mengambil anak angkat tetapi suami tidak bersetuju,” cerita Maria.

Empat bulan menjelang ulang tahun ketiga perkahwinannya, Maria dan suaminya mencapai kata sepakat untuk membuat pemeriksaan lanjut di sebuah hospital swasta.

Hasil daripada pemeriksaan tersebut, Maria disahkan sihat dan tiada masalah untuk hamil tetapi suaminya mempunyai masalah sperma.

Doktor mencadangkan mereka menjalankan rawatan kesuburan melalui suntikan sperma intra-sitoplasmik (ICSI). Menurut Maria, itu cara paling sesuai yang membolehkan dia hamil.

Sekali percubaan

“Kami terduduk selepas mendengar penjelasan doktor. Kami hanya bekerja sebagai guru, manakan mampu untuk menjalani rawatan yang kosnya puluhan ribu ringgit itu.

“Sebagai alternatif, kami ke hospital awam namun rawatan kesuburan kami gagal.

“Pernah terlintas dalam hati mungkin saya tidak akan ada anak sampai bila-bila dengan suami saya,” katanya.

Bagaimanapun, selepas berfikir panjang dan berbincang daripada hati ke hati, Maria dan suaminya kembali semula ke hospital swasta tersebut.

Ketika itu, pendirian Maria dan suaminya jelas. Mereka mahukan anak kerana menurut mereka duit boleh dicari tapi kebahagian rumah tangga tidak boleh dijual beli. Justeru kata sepakat diambil untuk menjalani rawatan tersebut.

“Kos rawatan mencecah RM30,000. Alhamdulillah, dengan sekali percubaan, saya disahkan hamil.

“Saya sangat bersyukur kerana usaha dan tawakal kami membuahkan hasil.

“Lebih menggembirakan, selepas setahun setengah saya melahirkan anak pertama, saya disahkan hamil secara normal,” ujarnya yang cepat tersentuh jika membaca kes buang anak.

Buat pasangan yang masih menanti kehadiran cahaya mata, Maria sempat menitipkan nasihat buat mereka.

“Jangan malu-malu untuk buat rawatan. Jangan tunggu bertahun-tahun dan jangan biarkan rumah tangga bergolak baru hendak berusaha.

“Ada juga kawan-kawan saya yang berserah kepada takdir dan biarkan suami berkahwin lain semata-mata mahukan anak sedangkan punca masalah tidak diketahui.

“Berfikirlah secara terbuka dan capailah kata sepakat yang terbaik dan menggembirakan semua pihak,” pesan Maria.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: