Wednesday, July 6, 2011

Bawa ‘racun’ 24,000 penagih

RAMPAS...anggota polis menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.
RAMPAS...anggota polis menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.

SHAH ALAM: Dua Mat Afrika dicekup ketika baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, selepas polis menemui 7.1 kilogram syabu bernilai RM1.8 juta dalam beg pakaian mereka yang dipercayai berupaya menampung keperluan 24,000 penagih dadah di negara ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kedua-dua suspek warga Nigeria berusia 34 dan 24 tahun itu diberkas dalam operasi berasingan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA pada 1 dan 3 Julai lalu selepas membawa beg pakaian dalam keadaan mencurigakan.


“Tangkapan pertama pada jam 4.50 petang dan suspek berusia 34 tahun itu membawa beg berisi syabu seberat 4.1 kilogram.

“Suspek kedua pula ditahan pada 3 Julai, jam 9.35 pagi yang membawa dadah jenis sama seberat tiga kilogram.


“Suspek yang baru tiba dari Ethiopia memberi alasan masuk ke negara ini kerana mahu menghantar beg dibawa kepada rakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah ialah RM1.8 juta.

Menurutnya, kedua-dua suspek bekerja sebagai penjual pakaian di negara asal mereka dan pertama kali masuk ke Malaysia.


“Kedua-dua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman hingga 9 dan 10 Julai ini,” katanya.Dalam perkembangan sama, katanya, sepanjang awal tahun ini hingga 17 Jun lalu, sebanyak 43 kes tangkapan dicatatkan membabitkan rampasan 151.1 kilogram dadah dan daripada jumlah itu, seramai 37 lelaki dan 11 wanita ditahan di KLIA.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: