Sunday, July 10, 2011

Anak angkat, Narathiwat & laporan polis


NURUL menunjukkan bukti yang dia masih menggunakan nama Nurullah Zawawi.


SAYA nak tanya ada tak pihak media tahu nama sebenar Nurul? Saya pasti pihak media dah buat research dulu sebelum datang ke sidang media ini,” kata Mohd Munzil Mohamad yang juga merupakan suami kepada penyanyi Nurul AF2.

Ya, umum cukup mengenali nama sebenar Nurul adalah Nurullah Abdul Hamid. Nama yang memperkenalkan anak kelahiran Sarawak ini di pentas populariti. Dan dengan nama itu juga tidak ada siapa yang tahu cerita di sebaliknya.

Cukup rumit masalah yang melanda mereka sejujurnya. Daripada satu perkara ke satu perkara lain saling berkait rapat sehinggalah menyebabkan kebanyakan wakil media yang hadir pening kepala dengan cerita yang disampaikan.

Cerita perkahwinan Nurul dan Munzil bukan lagi cerita baru. Ramai yang mengetahui pasangan ini telah berkahwin di Narathiwat, Thailand pada bulan April yang lalu.

Namun semua itu kembali hangat apabila ada beberapa pihak yang memanaskan keadaan dengan menyebarkan cerita yang kurang enak tentang pasangan ini.

Enggan menamakan secara terperinci siapakah yang dimaksudkan oleh pasangan ini, mereka mahu isu yang timbul ini tidak berpanjangan seterusnya membersihkan nama kedua-dua pasangan ini.

“Tujuan saya memanggil anda semua adalah untuk menjelaskan perkara sebenar. Banyak sangat cerita yang kurang enak tentang saya dan isteri yang bermain di internet sejak kebelakangan ini sampai menyebabkan kami dicemuh.

“Empat perkara yang saya nak umumkan supaya semua pihak faham dan tahu apa yang berlaku. Pertama pasal nama sebenar Nurul. Nama sebenar Nurul adalah Nurullah Zawawi sama seperti yang tercatat di dalam kad pengenalan Nurul.

“Sepanjang hidup Nurul dia belum pernah menukar nama dalam kad pengenalan kepada Nurullah Abdul Hamid biarpun umum mengenalinya dengan Nurullah Abdul Hamid.

“Nurul sebenarnya anak angkat kepada Abdul Hamid. Anak yang diserahkan selepas lahir itu dijaga oleh Abdul Hamid dan dibesarkan oleh keluarga angkatnya sehingga hari ini. Jadi tidak timbul isu Nurul sudah menukar kad pengenalan dengan berbintikan Abdul Hamid seperti dakwaan sesetengah pihak,” jelas Munzil satu persatu.

Berbalik kepada isu kedua, Munzil yang juga merupakan peguam mahu tarikh nikah mereka dibetulkan. Ramai yang percaya mereka telah bernikah pada 23 Mei 2011 sedangkan tarikh sebenarnya pada 23 April 2011.

Isu ketiga pula, Munzil sekali lagi mahu membetulkan cerita bahawa mereka tidak pernah berjumpa dengan ibu bapa kandung Nurul semasa mahu bernikah.

“Ada beberapa berita yang tersalah lapor soal ini. Memang kami mahu berjumpa dengan keluarga kandung Nurul untuk urusan pernikahan. Nak minta bapa kandung Nurul jadi wali tetapi hajat itu tak terkabul.

“Kami ada minta Jabatan Agama Islam Sarawak untuk mempertemukan kami. Tapi semua itu tak menjadi kenyataan. Banyak sangat halangan bila kami nak berjumpa dengan keluarga kandung.

“Lebih sebulan kami mencari tetapi gagal mendapatkan mereka. Kalau ada yang kata saya tak bersungguh, saya dah buat segalanya. Saya dan kedua ibu bapa pernah terbang ke Kuching untuk berjumpa dengan mereka.

“Tapi usaha kami gagal apabila bertemu dengan Penghulu Kampung. Tak boleh saya nak cerita apa yang dah berlaku sebab ini melibatkan masalah keluarga. Tak kan saya nak buka cerita lama sebab saya pun orang baru dalam keluarga mereka.

“Isu keempat pula melibatkan nikah di Selatan Thailand. Saya nak beritahu yang pernikahan kami adalah sah dan sudahpun didaftarkan di Mahkamah Syariah Hulu Langat,” katanya lagi.

Turut bersama mereka dalam sidang media tersebut termasuklah Mohamed Azlin dan Nik Nazri yang juga merupakan peguam syariah kepada pasangan ini.

Dalam kenyataannya Mohamed Azlin menjelaskan anak guamnya sudah dua kali dipanggil memberi keterangan di mahkamah berhubung pernikahan mereka di Narathiwat tersebut.

Dan pada 26 Mei yang lalu, mahkamah telah mengesahkan perkahwinan mereka adalah sah yang berwalikan hakim di sana serta boleh didaftarkan sekali gus menafikan cakap-cakap orang yang pasangan ini melakukan perkara yang menyalahi agama.

Rentetan daripada apa yang telah berlaku, jelas Munzil mereka telah membuat empat laporan polis baru-baru ini. Namun, butirannya tidak mahu didedahkan lagi memandangkan peguam sivil pasangan ini masih lagi sedang mengkaji kes berkenaan.

Sambil diasak adakah mereka mahu menyaman pihak yang mengeluarkan cerita mereka sebelum ini, Munzil enggan menjawab.

Lalu soalan yang sama ditanyakan kepada Nurul, adakah dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga kandung yang memberikan komen dalam sebuah rancangan tv baru-baru ini, kata Nurul dia tak mahu mengulas lanjut.

“Saya tak boleh dedahkan apa isi laporan polis yang telah dibuat. Lagipun salinan laporan tu tak ada di tangan saya sekarang dan berada pada peguam saya. Semua dokumen tu ada. Saya tak mahu cakap sebab takut tersalah fakta sahaja.

“Apa-apa pun awak boleh tanya pada peguam saya. Bagi pihak saya dan Nurul kami hanya mahu membuat penjelasan ini sahaja,” jelas Munzil lagi.

Mahu selesai segera

TIDAK banyak bicara yang dituturkan oleh Nurul tempoh hari. Dia yang banyak memberikan ruang kepada suaminya untuk menjelaskan hal yang berlaku mahu perkara ini diselesaikan segera.

Bagi Nurul tindakan untuk bernikah di Narathiwat dilakukan apabila bapa kandungnya enggan menjadi wali dalam perkahwinannya. Tidak mahu terus menunggu masa yang lama sedangkan persiapan kahwin sudah dibuat, mereka tekad bernikah di sana.

“Sekali lagi Nurul tegaskan perkahwinan Nurul memang menggunakan nama bapa kandung. Tak pernah pun Nurul bernikah menggunakan nama bapa angkat Nurul. Tapi kenapa ramai yang tuduh Nurul macam tu?

“Perkara ni perlu di selesaikan segera. Nurul serah pada Allah sahaja walau terpaksa dedah segala benda. Bukan tak malu bila terpaksa cerita apa yang dah berlaku pada keluarga kami.

“Ini merupakan cabaran baru pada tahun ini. Tak pernah lagi Nurul terima ujian sebegini getir sebegini. Kami dah berusaha untuk buat apa sahaja tetapi semuanya tak berhasil seperti mana yang kami harapkan.

“Nurul mahu berehat seketika dalam bidang hiburan ni. Lepas raya nanti, Nurul akan ke New Zealand untuk temankan suami yang akan menyambung Phd di sana,” kata Nurul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: