![]() |
| AIDORA pernah mengendalikan kes-kes besar seperti Nirmala Bonat dan Anwar Ibrahim. |
WALAUPUN berpangkat Ketua Unit Peterniti Forensik DNA Jenayah, perwatakan yang ditunjukkan Nor Aidora Saedon penuh kelembutan.
Beliau tidak jemu-jemu melemparkan senyuman walaupun maklumat yang dikongsi agak serius.
Ibu kepada seorang anak itu merupakan antara orang penting yang bertanggungjawab membuat analisis ke atas DNA kes-kes jenayah di Malaysia.
Daripada kes pembantu rumah Indonesia yang didera, Nirmala Bonat hinggalah kepada kes berprofil tinggi, Datuk Anwar Ibrahim, Aidora sudah masak dengan segala bahasa forensik mahu pun DNA.
“DNA ialah bahan genetik yang menentukan sifat-sifat seseorang individu dan ia unik kecuali kembar seiras. Ia boleh digunakan secara efektif bagi kes jenayah yang melibatkan bahan biologi seseorang,” kata Aidora. Beliau bagaimanapun mengakui bukan semua kes dapat diselesaikan walaupun mempunyai DNA dan bukan semua DNA boleh digunakan.
“Ini kerana memandangkan negara kita bermusim tropika iaitu lembap dan panas, ia mempengaruhi sifat DNA. Oleh itu, ada banyak kes di mana DNA tidak dapat digunakan sebagai bahan solusi kerana ia terjejas dengan kepanasan atau kelembapan,” kata wanita yang mempunyai Ijazah Kimia dari Universiti Malaya dan Ijazah Lanjutan Sains Forensik dari Universiti of Auckland, New Zeland.
Katanya lagi, penggunaan DNA dalam analisis Forensik bukan sahaja terhad kepada kes-kes jenayah, malah ia turut digunakan sama ada untuk tujuan awam atau persendirian dalam menentukan ibu bapa seseorang, kes-kes kewarganegaraan dan pendaftaran lewat kelahiran.
Pihaknya akan memperoleh bahan DNA daripada pihak polis dan analisis akan dibuat di makmal.
Apa yang membanggakan semua teknologi dan kepakaran yang digunakan di Makmal Analisis DNA di Jabatan Kimia Malaysia bukan sahaja mempunyai akreditasi Persatuan Pengarah Makmal Jenayah Amerika (ASCLD) bahkan, diberi mandat sebagai penggerak Rangkaian Forensik Sains Asia yang mewakili benua Asia.
Kekurangan pakar
Ulas wanita yang bekerja dengan 35 orang kakitangan di bawah unit Forensik DNA itu, dengan kecekapan teknologi sedia ada pihaknya dapat membekalkan analisis yang konkrit. Cuma akuinya, jumlah pakar yang ada sekarang dalam bidang forensik masih agak kecil.
“Jumlah kakitangan 35 orang tetapi jika diambil kira jumlah pakar, saya rasa kurang 10 orang,” katanya yang juga memberitahu buat masa sekarang hanya Universiti Kabangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sahaja yang menawarkan kursus khusus Sains Forensik.
Kekurangan pakar dalam bidang itu, menurut Aidora dipengaruhi pelbagai faktor antaranya kesukaran tugas tersebut.

“Dalam kebanyakan kes kami akan menerima kes jenayah dan perkhidmatan analisis luar lain. Analisis DNA akan dilakukan dan bagi individu luar, kami juga akan membekalkan penerangan hasil analisis.”
“Kami juga mendidik pelajar, polis dan pihak berkuasa tertentu. Ini diikuti tekanan daripada pihak luar termasuk media, orang awam, ahli politik dan sebagainya terhadap sesuatu kes. Setelah siap kad laporan yang melalui beberapa siri penapisan, pembetulan, kami perlu berhadapan dengan pihak mahkamah.
“Pada kes-kes tertentu kami akan dicabar atau dicemuh khususnya melibatkan kes berprofil tinggi,” katanya tersenyum.
Ternyata, tanggungjawab dan kecekapan yang perlu dipikul ahli sains forensik itu mungkin bukan pilihan kebanyakan orang kecuali, keghairahan mengatasi segala-galanya.
Sama seperti Aidora yang menyertai pasukan forensik seawal 1998, wanita yang kini berusia 38 tahun itu berkata, dengan tunjuk ajar daripada kakitangan kanan terdahulu speerti Primulapathi Jaya, N. Hithaya Jeevan dan Lim Kong Boon, beliau berpuas hati dengan kedudukannya sekarang.
Apabila ditanya, bagaimana pihaknya mengendalikan sesuatu kes, Aidora berkata, “Semua kes ada suspek dan mangsa. Setiap suspek dan mangsa mempunyai keluarga sama seperti kita. Bagaimana agaknya kita mengendalikan sesuatu yang melibatkan keluarga sendiri? Bersungguh-sungguh dan adil bukan.
“Jadi saya melihat suspek mahupun mangsa sebagai seorang yang berkeluarga dan penting bagi seseorang, jadi saya akan mengikut prosedur dan melakukannya secara adil supaya dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kebaikan manusia itu sendiri,” jelas wanita itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: