Tuesday, July 19, 2011

Aeril cabar diri berlakon teater

Sekarang semakin ramai pelakon popular naik ke pentas teater. Kecenderungan mereka sekarang membuatkan teater semakin ramai gamit pengunjung berbanding seketika dahulu yang hanya ditontoni peminat tegar sahaja.

Pelakon muda Aeril Zafrel juga mencabar diri menerima tawaran berlakon teater menerusi Gelanggang Tok Wali yang akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 28 Julai hingga 30 Julai ini. Apa yang membuatkan Aeril memberanikan diri?

"Saya tak pernah rasa puas hati dengan apa yang saya buat selama ini. Saya ingin membuat sesuatu yang lebih baik dari semasa ke semasa. Sebab itulah saya memberanikan diri menerima tawaran berlakon Gelanggang Tok Wali.

"Tapi saya bukanlah berlakon watak besar... watak saya kecil sahaja. Tapi saya tak kisah sebab ini penglibatan pertama saya dalam teater. saya pun tak idamkan watak besar untuk percubaan pertama ini.

"Saya akui sebenarnya saya masih takut untuk menerima watak yang lebih besar dalam teater. Saya mahu belajar dahulu menerusi penglibatan saya dalam teater ini. Saya akui suasananya berlainan sekali berbanding pengalaman berlakon drama dan filem.

"Kita perlu menjalani latihan dengan giat sebelum pementasan agar tidak melakukan kesilapan semasa persembahan sebenar.

Saya juga sibuk, jadi saya tak mahu menyusahkan pihak produksi. Kalau berlakon watak kecil ni... saya boleh menyusun jadual saya. Ada masa saya tak boleh menjalani latihan teater kerana komitmen lain," akui Aeril kepada Mangga Online.

Aeril, 23, sudah dapat rasakan pengalaman dan pendedahan baru kerana tidak pernah belajar selok-belok lakonan semasa melangkah ke dunia lakonan drama dan filem.

Penglibatan dalam Gelanggang Tok Wali memberikan dia pengalaman berharga. Baginya lakonan teater bukanlah semudah yang dilihat.

“Berlakon drama atau filem bagi saya lebih mudah. Jika saya lakukan kesilapan, pengarah akan memberhentikan rakaman dan memulakan semula. Tapi di atas pentas kita tak boleh undur lagi," katanya.

Sibuk di lokasi

Aeril sedang menjalani penggambaran drama khas untuk tayangan pada musim bulan puasa nanti berjudul Ramadan Terakhir. Dia juga baru selesai penggambaran filem Tujuh Petala Cinta. Sekarang ini Aeril memberi sepenuh tumpuan kepada teater tersebut.

"Saya juga mencuri masa ke gimnasium sebab mahu membesarkan badan. Saya ini nampak kurus sangat, sebab itu mahu membentuk otot-otot agar nampak lebih berisi.

"Nanti bila masuk bulan puasa, pasti saya akan kembali kurus sebab berpuasa, jadi sebelum itu saya aktifkan diri di gimnasium. Lagipun watak saya dalam Gelanggang Tok Wali memerlukan saya bersilat, kalau memiliki otot yang menarik, akan mencantikkan lagi watak saya itu," kata Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: