![]() |
| Dari kiri, Ady Putra, Norfaizah Zainal dan Abdul Rashid Hussein pada sidang akhbar di pejabat Aerowana Travel, Bangsar, baru-baru ini. |
AKHIRNYA termakbul juga hasrat pelakon Ady Putra atau Mohamed Hadi Putera Halim, 30, untuk melangkah kaki ke tanah suci Mekah menunaikan umrah setelah tiga kali gagal.
Ady yang tidak menduga kesempatan mendatang itu berkata, dia akan ke Mekah bersama isteri, Aida, ibu dan mertuanya pada 2 Ogos ini bersama 150 orang jemaah lain.
Pemergian Ady ke sana adalah atas tiket pelantikannya sebagai ikon kepada syarikat pelancongan dan pengembaraan, Aerowana Travel Sdn. Bhd.
Selain Ady, syarikat berkenaan turut melantik naib juara program realiti Imam Muda musim pertama, Hizbur Rahman Omar Zuhdi sebagai ikon syarikat tersebut.
"Syukur alhamdulillah, akhirnya niat suci saya termakbul juga. Sebelum ini, setiap kali mendapat tawaran drama yang akan menjalani penggambaran di Mekah ada sahaja halanganya.
"Memang kecewa kerana tidak berpeluang ke sana, tapi sekarang saya gembira kerana tidak ramai yang berpeluang melalui saat-saat indah seperti ini. Bagi saya, ini semua adalah rezeki dan mungkin sudah sampai seru untuk saya menjejak kaki ke sana," katanya.
Beliau berkata demikian selepas diumumkan sebagai ikon Aerowana Travel bersama Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi (yang tidak hadir kerana berada di Madinah) di pejabat agensi berkenaan di Bangsar, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Aerowana Travel, Datuk Norfaizah Zainal dan Ketua Pegawai Operasi Aerowana Travel, Abdul Rashid Hussein.
Pemegang watak Indra Putra menerusi drama bersiri Suria Di Cordoba itu berkata, sudah menjadi lumrah setiap insan yang menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah berdoa untuk kebaikan diri dan semua pihak.
Kata Ady, dia mempunyai banyak doa yang hendak dilafazkan terutama kebahagiaan rumah tangga, keluarga dan kerjaya.
"Sudah tentu saya ingin memohon pada Allah agar mengurniakan saya dan isteri, cahayamata sebagai penyeri rumah tangga kami. Siapa tahu mungkin doa saya di sana dimakbulkan walaupun setiap hari saya berdoa ke arah itu.
"Selain itu, saya juga ingin memohon agar Allah mengurangkan cubaan dan ujian pada saya yang terbabit dalam kerjaya sebegini," katanya terus terang.
Kata aktor itu, biarpun sudah menunaikan umrah namun kerjayanya sebagai pelakon tetap diteruskan.
"Saya tetap akan membawa watak antagonis kalau diperlukan. Bagi saya apa yang dilakukan adalah untuk memberi pengajaran kepada penonton.
"Terpulang kepada penonton untuk menilai macam mana kerana niat saya adalah untuk mengajar kerana setiap watak yang dilakonkan diadaptasi daripada dunia realiti," jelasnya.
Sementara itu, Norfaizah berkata, pemilihan Ady Putra sebagai ikon berdasarkan kepada latar belakangnya yang bebas daripada cerita sensasi.
Selain itu, katanya, melihat rekod Ady yang bersih dalam dunia seni, pelantikan Ady diharap dapat menarik minat lebih ramai anak untuk melakukan ibadat di tanah suci Mekah.
"Penampilannya menarik perhatian kami. Walaupun dia sering diberi watak antagonis tapi secara peribadi dia boleh dijadikan contoh.
"Mungkin dengan statusnya sebagai artis, boleh menarik minat anak-anak muda untuk mengerjakan ibadat umrah atau haji dalam waktu terdekat tanpa menunggu di usia tua," jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: