Tuesday, July 12, 2011

16 Lelaki Rebut Gelaran 'The Perfect Gentlemen'

16 finalis program pencarian lelaki sempurna The Perfect Gentlemen pada majlis pengumuman di Hotel Parkroyal, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: 16 lelaki daripada 467 calon awal telah disenaraikan untuk merebut peluang bergelar 'lelaki sempurna' dalam program pencarian lelaki The Perfect Gentlemen (TFG) di stesen televisyen ntv7 bermula 17 Julai ini.

Menurut Pengurus Kumpulan Penjenamaan ntv7, Lai Cheah Yee, program yang diilhamkan daripada idea dan konsep tempatan ini bertujuan untuk memaparkan sikap, karakter dan pesona lelaki Malaysia untuk bergelar seorang lelaki yang sempurna.

"Kesemua 16 peserta akhir ini dipilih berdasarkan latar belakang dan profil yang berbeza, menarik dan kriteria tertentu.

"Selain memiliki wajah yang kacak, mereka juga dipilih kerana karakter, kebijaksanaan, pesona dan bakat. Setiap peserta mempunyai kelainan dan kekuatan masing-masing," katanya yang ditemui pada pengumuman 16 finalis program itu di Hotel Parkroyal, di sini, Jumaat.

Tambahnya, sebagai platform untuk mencari calon lelaki yang sempurna, tugasan mingguan itu juga bakal dilengkapi ujian komunikasi bagi menilai kemahiran peserta berkomunikasi dan bersosial.

Pada setiap minggu, seorang peserta yang mendapat markah terendah akan disingkirkan oleh barisan juri yang dipilih mengikut kepakaran masing-masing dalam bidang-bidang berkaitan.

Pengurus Kumpulan Penjenamaan ntv7, Lai Cheah Yee

"Pada setiap minggu, semua peserta akan diberikan tugasan mingguan yang merangkumi soal imej, etiket, memasak dan banyak lagi.

"Kita mencari seorang lelaki yang serba boleh. Penilaian bukan saja pada aspek paras rupa dan penampilan, malah kebolehan dan kemampuan mereka melaksanakan tugasan mingguan juga diambil kira.

"Mereka perlu melakukan tugasan itu sebaik mungkin dan meyakinkan juri pada setiap episod untuk mengelakkan daripada tersingkir," katanya.

Para peserta TPG terdiri daripada Anson, 21, (Selangor), Chris, 21, (Kuala Lumpur), Wilson, 21, (Johor), Vicca, 20, (Kedah), Shyang Wen, 18, (Kuala Lumpur), Ivan, 28, (Selangor), Dennis, 41, (Selangor), Jake, 24, (Johor), John, 19, (Sabah), Ming Yang, 20, (Sarawak), Ryan, 21, (Melaka), Joel, 30 (Selangor), William, 27, (Johor), Fung, 21, (Selangor), Kong Jie, 21, (Sarawak) dan Gir Shen, 21, (Kuala Lumpur).

Daripada 16 peserta ini, hanya enam saja finalis yang akan mara ke peringkat akhir TPG pada 9 Oktober depan.

Pemenang TPG akan membawa hadiah dan wang tunai sebanyak RM200 ribu selain berpeluang untuk menceburi bidang lakonan dan pengacaraan selaku personaliti ntv7.

Program yang dihoskan oleh pengacara Hoong Jia Hui ini akan bersiaran sebanyak 13 minggu bermula 17 Julai. Ia akan ke udara pada setiap Ahad pukul 6 petang di ntv7.

Gelagat dan ragam para peserta ini juga boleh ditonton menerusi kapsul berdurasi dua minit bermula 11 Julai pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 9.59 malam.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi TPG di www.ntv7.com.my/theperfectgentlemen atau Facebook ntv7.perfectgentlemen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: