PETALING JAYA: Wartawan Utusan Malaysia, Raja Intan Dianna Raja Azham,25, mengalami bengkak pada rusuk kirinya dan lebam-lebam di seluruh badan akibat dipukul ketika mahu meleraikan pergaduhan melibatkan juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lepas, Raja Intan cuba membantu Tom yang diserang sekumpulan lelaki sehingga membuatkan dia turut mengalami kecederaan.
Kata Raja Intan, walaupun Tom adalah saudaranya dia bukan mahu masuk campur urusan penyanyi itu sebaliknya atas sifat kasihan melihat sekumpulan lelaki cuba membelasah penyanyi tersebut.
"Saya bersimpati terhadap Tom apabila melihat seorang daripada lima lelaki meluru kearahnya lalu menyepak bahagian pipi kanan dia.
"Kerana kasihan saya cuma membantu tetapi saya pula yang turut dicederakan," ujarnya ketika dihubungi Mstar Online di sini, Isnin.
Dalam kejadian di Damansara Ahad lepas, Tom cedera dibelasah oleh sekumpulan lelaki dipercayai akibat selisih faham selepas dia membuat kenyataan dalam rancangan Melodi yang dia sebenarnya tidak mengganggu rumah tangga orang.
Sebelum ini Tom dikatakan menyebabkan rumah tangga seorang wanita dengan suaminya bergoyang kerana dia mempunyai hubungan dengan suami wanita berkenaan yang juga kekasih lamanya.
Kata Raja Intan, pada mulanya dia berada pada deretan kedai tidak jauh dari tempat kejadian.
Bagaimanapun selepas melihat isteri kepada lelaki yang dikaitkan dengan Tom itu cuba menyelamatkan penyanyi itu daripada dipukul, dia turut membantu.
Malangnya pada waktu itu dia pula yang ditendang pada bahagian rusuk selain dicekik oleh seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan. "Beberapa perempuan yang berada disitu turut menjerit serta memaki hamun saya agar tidak masuk campur kerana saya orang luar
"Mereka juga ada memberi ugutan kepada saya agar beredar dari situ," jelasnya yang kini masih trauma dengan kejadian tersebut.
Bagaimanapun kata Raja Intan dia terselamat apabila tiba-tiba rakan Tom muncul dengan sebuah kereta menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyelamatkan diri.
"Kejadian yang berlaku itu lebih kurang 5 minit tetapi baju saya habis koyak rabak, seorang kawan Tom datang dengan kereta dan menyuruh kami bertiga memasuki kereta tersebut.
"Kami terus menuju ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan," ujarnya yang mendapat cuti sakit akibat tragedi itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: