Friday, July 30, 2010

Buah tangan sulung Jehan



Setelah tujuh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Jehan Miskin mengembangkan lagi empayar seninya dengan menjadi penerbit drama melalui syarikatnya, Mastermind Group Sdn. Bhd.

Lebih membanggakan, telefilem berjudul Buta Warna menjadi buah tangan pertama Jehan sekali gus membuktikan perkembangan karier seninya.

Malah, Jehan sanggup berhabis wang dan tenaga demi mendapatkan hasil terbaik daripada telefilem tersebut.

”Secara jujurnya memang saya tiada pengalaman menerbitkan telefilem jadi saya akui kami mengalami kerugian sedikit kerana kos melebihi peruntukan yang sepatutnya. Tetapi, itu semua memang sudah dijangka kerana peralatan yang kami gunakan melibatkan sewaan dengan jumlah yang tinggi.

”Saya tidak mahu ia seperti telefilem yang biasa tetapi saya mahu hasil yang sangat memuaskan hati. Jadi untuk buah tangan pertama, soal rugi adalah perkara kedua,” katanya yang mengaku penggambaran telefilem ini mengambil masa selama tiga bulan demi mendapatkan hasil terbaik.

Jehan memberitahu, genre komedi romantik yang diterbitkan dalam telefilem itu adalah berdasarkan kepada permintaan masyarakat yang gemarkan corak cerita yang santai dan ringkas.

”Saya buat cerita yang ada permintaan, kalau kita lihat penonton lebih gemar dengan drama-drama yang bercorak komedi romantik berbanding cerita-cerita yang sarat dengan mesej.

“Namun begitu visi jangka masa panjang adalah untuk menerbitkan sebuah filem seperti Avatar, tapi bukanlah dalam masa terdekat ini. Masyarakat kita masih belum menerima cerita-cerita sebegini terutamanya yang dihasilkan oleh produksi tempatan,” katanya yang memilih Azizi Chunk sebagai pengarah untuk telefilem sulungnya itu.

Jehan berkata, dia percaya Azizi mampu menghasilkan produk komedi yang berkualiti dan menepati kehendak peminat, selain sangat mengagumi kehebatan Azizi yang sudah banyak mengarahkan drama-drama berbentuk komedi.

Ketika ditanya mengapa tidak saja dia mengarahkan telemovienya itu sendiri, dengan rendah dirinya Jehan mengakui dia masih mentah dan belum layak untuk menjadi seorang pengarah.

”Banyak lagi yang belum saya belajar, pengarahan juga salah satu cita-cita saya tapi bukan dalam masa terdekat ini. Mungkin dalam lima atau enam tahun lagi,” katanya.

Biarpun sudah bergelar penerbit, namun Jehan masih lagi aktif menerima tawaran-tawaran berlakon seperti biasa.

”Saya tidak menolak tawaran yang datang semata-mata untuk tumpukan kepada produksi saya. Bagi saya lakonan adalah cinta pertama dan saya terima tawaran seperti biasa. Di luar sana, ramai produser dan pengarah seperti Afdlin, Hans Issac masih lagi terima tawaran berlakon biarpun mereka sudah ke satu tahap yang lain,” katanya.

Buta Warna mengisahkan Amri yang buta warna telah jatuh cinta terhadap seorang gadis ‘mat salleh’ iaitu Amy. Secara kebetulannya, Amy turut mengalami buta warna membuatkan mereka begitu secocok. Bagaimanapun, banyak halangan yang terpaksa ditempuhi mereka berdua sebelum mengecap kebahagiaan, terutama Amri yang sering diejek oleh teman-temannya.

Dibintangi Anna Lesovaya, Jihan Raja Lawak dan Jehan Miskin sendiri, Buta Warna bakal menemui penonton mulai 29 Julai, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ria.

1 comment:

  1. Saya dah menonton cerita ini..best dan menghiburkan. Lakonan bersahaja dari para pelakon terutamanya Awie, Jihan dan Jehan sendiri membuatkan saya terhibur dan kadang kala gelak terbahak2...
    syabas untuk Jehan...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: