Saturday, July 31, 2010

Kesempurnaan masa hadapan


ADAKAH kereta elektrik mampu mendapat peluang di pasaran massa?


IDEA penghasilan kereta berkuasa elektrik (EV) bukanlah sesuatu yang baru. Malangnya pembangunan kenderaan itu amat perlahan sejak tahun 1900 lagi. Pembangunan kenderaan elektrik pada sistem kereta api sebagai contoh, mengambil masa lebih 50 tahun untuk dibangunkan bagi menggantikan arang batu, stim dan diesel. Hari ini, tenaga elektrik hampir menguasai sepenuhnya sistem kereta api moden.

Apakah yang terjadi kepada industri kereta? Sukar untuk dijangka bilakah industri automotif terbesar ini akan berubah seperti pengangkutan lain. Hari ini, istilah pembangunan kereta elektrik yang mahal dimomokkan agar masyarakat awam terus percaya bahawa kereta EV akan menggantikan bahan api fosil, tidak akan berlaku.

Ia adalah mitos sama ketika kereta berenjin petrol dicipta dahulu. Perang media tentang keselamatan sebuah kenderaan dengan setangki bahan api yang mudah meletup. Kereta elektrik bukanlah sesuatu yang baru. Sejak zaman kenderaan penumpang dicipta, ideanya telah ada. Namun, dekad itu teknologi bateri boleh cas pun sesuatu yang amat asing. Teknologi sistem pembakaran yang efisien atau kemudahan elektrik rumah pun tidaklah begitu bagus.

Banyak yang telah dilakukan oleh industri. Namun, semuanya berdepan dengan halangan sukar untuk menewaskan petrol dan diesel. Eksplorasi teknologi alternatif hibrid, hidrogen, gas asli dan biodiesel antara cetusan kesedaran dalam kalangan pemain industri.

Kenderaan elektrik pula dilihat sebagai jalan keluar terhadap semua ini. Anda tidak akan dapat banyak teknologi untuk dikomersialkan dengan meluas. Kekalkan pada satu dan kosnya pasti boleh dikurangkan.

Di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain, pemilik kereta Toyota Prius berjaya menukar Prius menjadi kereta elektrik sepenuhnya dengan pengubahsuaian yang tidaklah begitu besar.

Realitinya, ia boleh dibuat atas timbulnya kesedaran. Peliknya, ia bukanlah kehendak industri yang mempunyai alasan tradisi. Apa lagi kalau bukan bateri litium ion yang mahal dan kos pembinaan yang tidak memberi pulangan setimpal.

Pada pertengahan tahun 1990-an, General Motors (GM) menyambut seruan yang ditetapkan dalam Akta Udara Bersih California. GM melancarkan projek EV1. Sehingga kini, ia masih dianggap sebagai kereta elektrik produksi massa pertama di dunia. Mereka juga berjaya melobi akta ini sebagai ketetapan yang perlu bagi setiap pembuat kereta yang hendak memasarkan kereta di California. Ya, hanya di California.

Demi memastikan kereta ini praktikal, GM tidak menjualnya. Sebaliknya disewakan kepada pembeli EV1. Setahun selepas kempen pemilikan ini, bahagian GM Advanced Technology Vehicles mengembangkan pasarannya ke San Franciso dan Sacramento selain program terhad di Georgia.

Namun, projek berprofil tinggi ini tidak positif seperti yang diharapkan. Kenderaan ini dikatakan terlalu mahal untuk dibina. Walhal dalam masa yang sama, pemain industri utama seperti Chrysler, Ford, Honda, Nissan dan Toyota telah pun memulakan projek untuk memenuhi ketetapan California. Namun kegagalan dalam menepis kempen memburukkan EV1 menyebabkan impian California sebagai bandar emisi sifar pertama di dunia berkubur.

Apa yang membunuh projek ini ialah kempen media oleh pemain industri dan gergasi petroleum dengan memberi imej negatif terhadap kereta berteknologi elektrik kepada orang awam.

Antara fakta yang diketengahkan ialah perbelanjaan keseluruhan mencecah AS$1 billion (RM3.2 bilion) untuk menghasilkan 800 buah EV1 dalam tempoh empat tahun. Tahukah anda berapa yang dibelanjakan kerajaan AS untuk perang di Iraq? Jawapannya ialah AS$900 billion (RM2.86 trilion). Lihatlah bezanya dan anda pasti menyedari bahawa kos besar untuk EV hanyalah satu alasan.

Melihat kereta EV menjadi realiti dalam masa terdekat memanglah sesuatu yang mustahil, kecuali kita melihat usaha serius Jepun. Hari ini, sebarang projek EV mendapat insentif pengurangan cukai yang cukup dominan.

Mitsubishi i-Miev dan Subaru Plug-in adalah contoh produk yang dibangunkan khas untuk EV. Jauh di benua lain, pembuat kereta elektrik India, Reva Electric Car Company telah membuktikan bahawa kereta ini memang boleh dipasarkan.

Kemajuan teknologi hibrid hari ini membuktikan bahawa teknologi kereta elektrik massa tidak jauh daripada jangkauan. Ada pakar mengatakan dalam tempoh 10 tahun lagi, teknologi bateri litium ion semakin murah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: