Saturday, July 31, 2010

Membawa mesej dalam botol


SUSUNAN botol yang diisi karbon dioksida untuk lebih apungan dan tahan lasak.


TIADA apa yang istimewa pada reka bentuk Plastiki jika dilihat dari jauh. Rupanya sama seperti kebanyakan perahu layar lain. Namun kejayaannya merentasi Lautan Pasifik baru-baru ini menyampaikan mesej yang cukup hebat kepada penduduk dunia.

Siapa sangka katamaran sepanjang 18.2 meter yang hanya diperbuat daripada 12,500 botol plastik kitar semula berjaya mengharungi pelayaran di laut terbesar di dunia dalam usaha memupuk kesedaran alam sekitar ke peringkat global.

Pengembaraan Plastiki dari San Francisco, Amerika Syarikat selama 130 hari berakhir di Pelabuhan Sydney pada 26 Julai lalu. Ia melibatkan jarak sejauh 11,000 kilometer. Ketibaannya disambut meriah oleh penduduk bandar pesisir pantai itu sebelum diberi penghormatan untuk dipamerkan di Muzium Maritim Kebangsaan Australia.

Pelayaran Plastiki dikendalikan oleh David de Rothschild yang merupakan ahli keluarga institusi perbankan terkenal Britain bersama lima orang anak kapal yang menggelarkan diri mereka sebagai pasukan Adventure Ecology.

"Kejayaan kami pada hari ini adalah simbolik kepada apa yang boleh dilakukan penduduk bumi melalui kitar semula," ujar De Rothschild, 31, selaku Ketua Ekspedisi.

Idea pelayaran Plastiki tercetus selepas De Rothschild membaca laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kesan dan ancaman serius yang dihadapi bumi akibat pencemaran dan buangan sisa plastik.

Selepas empat tahun pasukan Adventure Ecology bertungkus-lumus menggabungkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, binaan kapal, reka cipta terpelihara dan sains bahan binaan, akhirnya Plastiki disiapkan.

Untuk menghasilkan kesan yang lebih drastik terhadap kempen yang diperjuangkan, pembinaan perahu itu dilakukan berlandaskan empat tema iaitu reduce, reuse, recycle dan rethink (kurangkan, guna semula, kitar semula dan fikir semula).

Plastiki yang menggunakan platfom plastik tahan lasak diapungkan oleh botol-botol kitar semula yang disusun dan diikat pada rangka bot. Daya tahan botol dipertingkatkan dengan memasukkan karbon dioksida mampat yang menjadikan botol-botol plastik itu kalis pecah dan tahan lebih lama.

Pengemudiannya dilakukan oleh sistem kemudi yang memanfaatkan tenaga solar dan juga boleh dijana daripada tenaga kayuhan pedal basikal.

Bekalan tenaga semula jadi yang diperolehi itu kemudian disimpan untuk menghidupkan pelbagai peralatan eletronik dalam bot.

Pada waktu malam dan di dalam keadaan ribut, perlindungan kru kapal adalah di empat buah kabin berbentuk kura-kura yang mampu memuatkan enam anak kapal.

Selain dilengkapi teknologi terkini, Plastiki juga memanfaatkan bahan kitar semula ke tahap maksimum. Kain layarnya diperbuat daripada plastik yang didirikan pada tiang layar yang diperbuat daripada batang paip aluminium.

Kapal pintar yang menjadi kediaman selama empat bulan kepada kru itu turut mengaplikasikan konsep bumi hijau dengan menyediakan ruang bercucuk tanam secara hidroponik yang membekalkan sayur-sayuran sebagai alternatif kepada makanan dalam tin.

Sebagai 'kapal hayat' yang prihatin terhadap kesihatan bumi, sistem kumbahan Plastiki juga dicipta khas dengan keupayaan mengitar semula sisa buangan termasuk najis.

Dari San Francisco, Plastiki singgah di Pulau Line, Samoa Barat dan New Caledonia selain melalui kawasan himpunan sampah Pasifik (Great Pacific Garbage Patch).

Ia merupakan tempat pengumpulan sisa terbesar di dunia yang terhasil daripada arus laut. Tompokan sisa buangan itu dikatakan menyamai saiz negeri Texas malah ada sebahagian saintis mendakwa saiznya kini menyamai Amerika Syarikat.

Walaupun terlewat sebulan daripada jadual asalnya, pelayaran Plastiki berjaya mencuri perhatian umum melalui mesej alam sekitar yang dikongsi melalui laman web, blog dan laman sosialnya.

"Kami bukan sahaja mengemaskini maklumat pelayaran tetapi berjaya menarik perhatian, mengaktif dan mendidik orang ramai bahawa sisa buangan adalah masalah pengurusan manusia yang sebenarnya dapat diselesaikan.

"Melalui pemahaman dan kaedah yang efisien dalam penggunaan bahan khususnya plastik, sisa buangan boleh ditukarkan kepada sumber lain yang berguna dan mengurangkan plastik di permukaan laut," ujar De Rothschild.

Namun tambah beliau, ketika Plastiki berjaya mengitar semula 12,500 botol plastik sepanjang 3,144 jam perjalanannya, lebih daripada 7,860 juta botol lain dihasilkan di Amerika Syarikat sahaja dengan kurang 10 peratus di kitar semula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: