DIA merupakan antara wanita tercantik dan paling banyak diperkatakan di dunia. Namun, hanya Angelina Jolie yang berpeluang merampas apa yang sepatutnya menjadi milik Tom Cruise - watak utama filem Salt yang kini sedang menjengah pawagam seluruh dunia.
Keseluruhan skrip filem itu sebenarnya dihasilkan khusus untuk memfokus kepada karakter lelaki, Edwin Salt, yang sepatutnya dilakonkan Tom.
Namun, apabila nama aktor itu sama ada digugurkan atau dia sendiri yang menarik diri daripada projek filem tersebut, terus sahaja Angelina yang terpilih. Ia sesuatu yang jarang dan mungkin pertama kali berlaku di Hollywood, sekaligus menjadi satu penghormatan buat golongan pelakon wanita yang sebelum ini dikatakan sering dianak-tirikan di pusat perfileman gergasi itu berbanding golongan pelakon lelaki, khususnya dalam pengagihan watak utama sesebuah filem.
Malah, demi Angelina, watak Edwin itu ditukar kepada Evelyn Salt, seorang ejen CIA yang kesetiaan terhadap negaranya diuji apabila dia dituduh oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai pengintip Rusia.
Ikuti temu bual bersama Angelina Jolie yang disiarkan oleh Cinematical mengenai bagaimana dia menghidupkan watak Evelyn Salt untuk menjadi lebih 'ganas' berbanding Edwin Salt sekiranya ia dilakonkan oleh Tom Cruise.
Ceritakan apakah persediaan dan penyelidikan yang anda lakukan untuk karakter Evelyn Salt?
Kami menghabiskan banyak masa yang berlainan dengan pelbagai individu berbeza yang pernah bekerja sebagai perisik Rusia dan juga CIA, dan apa yang paling saya perasan adalah tentang bagaimana perasaan mereka yang terasing dan bersendirian kerana tidak dapat berbual tentang kehidupan dan pekerjaan mereka dengan ahli keluarga mereka, serta apa yang telah mereka korbankan. Dan saya mendalami perasaan lega yang dialami mereka selepas bersara daripada jawatan mereka itu. Betapa mereka kini boleh berbual dengan jujur tanpa menyembunyikan sesuatu dan perlu sentiasa menipu sebelum ini.
Salt dihasilkan berdasarkan realiti, tetapi ia diselitkan dengan banyak babak aksi. Sejauh mana anda rasakan ia boleh diselitkan dalam filem itu bagi memastikan ia meyakinkan sebagai satu realiti?
Semuanya bergantung kepada penyelaras aksi lagak ngeri kami, Simon Crane. Dia memang seorang yang genius. Dia yang menentukan apa yang harus saya lakukan ketika melakonkan babak aksi supaya ia tidak kelihatan seperti aksi adiwira. Memang aksi-aksi yang saya lakukan itu macam gila tetapi ia bukan sesuatu yang tidak masuk akal untuk dilakukan.
Anda telah melakonkan banyak karakter wanita yang kuat dari segi aksi, namun atas sebab tertentu idea bahawa pelakon wanita muncul sebagai tunjang utama filem aksi tidak banyak diaplikasikan di Hollywood. Kenapa agaknya?
Saya fikir ia bergantung kepada penonton. Anda mahu memberikan sesuatu yang mereka mahu. Anda hanya menunggu mereka memberi tindak balas dan jika anda melakukan apa yang betul, iaitu apa yang kami cuba lakukan sekarang ini (menerusi Salt), maka anda telah berjaya melakukannya jika tindak balas penonton positif. Ia sama seperti kebanyakan bisnes. Jika filem yang menampilkan tunjang utama wanita pecah panggung, maka banyak lagi filem seumpama itu bakal diterbitkan.
Apa perubahan yang anda lakukan terhadap Evelyn Salt selepas ia bertukar daripada Edwin Salt?
Satu perubahan yang sangat besar, yang paling menarik ialah kami tidak boleh ubah Salt menjadi filem tentang perempuan, kerana saya fikir itulah sebabnya filem yang menampilkan karakter utama wanita banyak yang gagal pecah panggung sebelum ini.
Ini kerana jika mereka menghasilkan filem tentang wanita, biasanya ia menampilkan segalanya tentang sisi feminin, salah satu punca kenapa ia kurang digemari penonton lelaki yang sukakan filem aksi penuh maskulin.
Karakter lakonan anda digambarkan sebagai mencipta bom. Adakah anda ada belajar tentang skil membuat bom?
Kami mengambil satu atau dua elemen kaedah mencipta bom bangunan, jadi ia tidak boleh dicipta semula. Tapi dengan beberapa elemen ekstra, ya sudah tentu ia boleh dihasilkan. Anda mempelajari perkara yang pelik apabila anda menjadi pelakon yang anda sendiri tidak sedari, dan anda pulang ke rumah dan anak anda bertanya, apakah yang ibu lakukan hari ini, dan anda jawab, "Saya buat bom." Saya ketawa sepanjang babak (buat bom) itu seperti saya berlakon dalam siri TV, MacGyver.
Salt merupakan filem aksi, namun pada pendapat anda, adakah ia akan tetap menarik minat penonton wanita?
Saya berharap sangat. Dan saya fikir kami telah cuba melakukan sesuatu yang kami rasakan merupakan sebuah filem yang hebat, dan saya pasti sangat akan menarik minat semua orang.
Disebabkan Evelyn Salt sangat kuat dan bijak, selain licik adakah mesej yang dibawakan tentang wanita?
Saya tidak pernah memandang rendah terhadap kaum perempuan, tetapi saya tidak terkejut melihat wanita melakukan seperti apa yang dibuat oleh Evelyn Salt. Sebab itu pendekatan filem ini bukan tentang Evelyn Salt sebagai seorang perempuan, tetapi sebagai seorang yang licik dan kebetulan dia seorang perempuan, dan ini sepatutnya bukan kejutan besar buat sesiapa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: