|
|
SETIAP daripada kita pasti akan merasai tua. Sudah pastinya pada usia senja itu, kita tidak mahu menempuhinya dengan kesunyian dan bersendirian, waima berharta.
Malah kalau ditanya apakah yang diharapkan apabila lanjut usia kelak? Jawapan tepat tentunya, inginkan kehidupan yang tenang, tenteram, kesihatan yang sihat, dapat beramal serta dikelilingi orang tersayang, sementara menanti panggilan Ilahi.
Hakikatnya, semua daripada kita tidak mahukan hidup bersendirian dan tersisih, lebih-lebih lagi apabila kudrat semakin lesu.
Justeru, kalau kita tidak inginkan nasib kita sedemikian rupa, sentiasalah bermuhasabah diri serta berusaha membahagiakan kedua orang tua kita, kerana hidup ini umpama pusingan roda.
Apatah lagi, ibu bapa mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, sehingga Allah memerintahkan kita supaya berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau tiap-tiap kedua-duanya, sampai berumur lanjut dalam peliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah", dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Israk: 23)
Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Pepatah yang begitu sinonim dengan usaha dan ikhtiar berkaitan khidmat masyarakat serta tanggungjawab sosial kepada golongan yang memerlukan atau mereka yang di dalam kesusahan.
Dengan semangat ingin meringankan beban kehidupan warga emas, sekali gus menceriakan dan menggembirakan hati mereka, pegawai dan kakitangan Masjid Negara telah mengadakan kunjungan ziarah ke Rumah Ehsan di Kuala Kubu Baru, Selangor penghujung Mei lalu.
Rombongan lebih 20 orang itu diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, diiringi Penolong Pengarah Kanan Unit Khidmat Sosial, Muhammad Shahrin Zulkiply, Penolong Pengarah Unit Khidmat Sosial, Wan Azin Wan Omar, Pegawai Tadbir & Diplomatik (Kewangan), Rejab Ramli, Penolong Pengarah Unit Dakwah & Sahsiah, Amru Al-Haz dan beberapa kakitangan.
Rombongan bertolak menaiki bas dari perkarangan masjid seawal pukul 8.30 pagi. Kunjungan kendalian Unit Khidmat Sosial itu bukan tangan kosong. Kehadiran mereka turut membawa bersama buah tangan.
Ini merupakan kunjungan pertama kakitangan Masjid Negara di bawah Unit Khidmat Sosial selain ia adalah merupakan satu tanggungjawab sosial sesama manusia.
Pada dasarnya, ziarah ke rumah-rumah kebajikan, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) adalah aktiviti tahunan pihak Masjid Negara.
Cuma institusi yang dipilih kali ini adalah julung kali berkaitan orang tua.
Ketibaan rombongan Masjid Negara disambut Pengetua Rumah Ehsan, Azian Noordin bersama beberapa kakitangan rumah tersebut.
Sebelum rombongan dibawa melawat ke sekitar Rumah Ehsan dan bertanya khabar para penghuninya, taklimat ringkas disampaikan oleh Aziah.
Sementara itu, dalam ucapan balas Shaikh Ismail memberitahu, melihat atau memandang orang tua adalah antara tiga perkara yang dikira ibadah, selain melihat Kaabah dan membaca atau melihat al-Quran.
Katanya, beruntunglah ibu bapa yang dapat mendidik anak-anak mereka menjadi anak yang soleh.
"Ini kerana hanya anak yang memiliki ciri soleh inilah yang akan berbakti kepada kedua ibu bapa dengan menjaga mereka apabila tua dan uzur," katanya.
Beliau turut kagum dan mengucapkan tahniah kepada warga kakitangan Rumah Ehsan yang begitu sabar menjaga penghuni di sini, apatah lagi mereka ini bukan saudara dan berlainan agama.
"Semoga menerusi kunjungan ini, kita memperoleh iktibar memandangkan kita semua akan menempuh usia tua suatu hari kelak," katanya pagi itu.
Shaikh Ismail turut berpesan agar mereka yang terlibat secara langsung dengan perjalanan di Rumah Ehsan agar sentiasa memastikan terutamanya, penghuni warga emas beragama Islam itu sentiasa dekat dengan Allah sehingga akhir hayat mereka.
Kakitangan Masjid Negara juga ditunjukkan dengan hasil kraftangan menggunakan surat khabar ilham seorang penghuninya, Rokiah Mohamed, 49, yang telah menetap di Rumah Ehsan sejak 2006.
Rombongan bertolak balik ke Kuala Lumpur selepas selesai solat Zuhur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: