Saturday, July 31, 2010

Lorenzo bakal juara MotoGp 2010?


Litar Antarabangsa Sepang yang akan menjadi tuan rumah Grand Prix Motosikal (MotoGP) pada 10 Oktober ini mungkin menjadi penentu juara buat Lorenzo.


PENDAHULU Grand Prix Motosikal (MotoGP) tahun ini, Jorge Lorenzo tidak perlu menunggu sehingga tamat tiga lagi pusingan perlumbaan sekiranya beraksi cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Oktober ini.

Pelumba Fiat Yamaha itu hanya perlu menambah empat lagi mata pada pusingan ke 15 di Sepang untuk dinobatkan sebagai juara MotoGP 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali berkata, berdasarkan prestasi cemerlang yang berterusan, pelumba Sepanyol itu tidak mempunyai banyak halangan untuk merangkul kejuaraan pertamanya.

Tambah beliau, Lorenzo mempamerkan persembahan yang menakjubkan pada pusingan pertama musim ini malah beberapa kali menewaskan Valentino Rossi walaupun ketika rakan sepasukannya itu menunggang dengan baik.

“Semasa perlumbaan yang lalu dia seperti tidak dapat ditewaskan. Persembahannya sama seperti yang pernah dicapai oleh Rossi dahulu

“Dia juga berjaya mengurangkan kemalangan dan kelihatan lebih berpengalaman tahun ini,” ujar Razlan ketika mengulas kemenangan keenam daripada sembilan pusingan yang diraih Lorenzo.

Sehingga kini, Lorenzo mengumpul 210 mata, mengatasi 72 mata pesaing terdekatnya, Dani Pedrosa dari Repsol Honda yang diikut rapat oleh Andrea Dovizioso (Repsol Honda) dengan kutipan 115 mata. Tempat keempat pula disandang Casey Stoner (103 mata) manakala Valentino Rossi berada di tempat kelima dengan 90 mata.

Harapan untuk cemerlang di Sepang juga diletakkan tinggi oleh Lorenzo. Itu yang diakui beliau selepas menamatkan pusingan di Amerika Syarikat baru-baru ini, namun beliau mengakui perlumbaan tetap penuh dengan cabaran tidak diduga.

“Kemalangan dan kerosakan enjin boleh berlaku bila-bila masa. Itu adala cabaran paling besar selepas berjaya menguasa rentak perlumbaan,” jelas,

Sementara itu, Razlan berkata, sekiranya penentuan juara MotoGP 2010 berlaku di SIC, litar itu akan menyaksikan kebanjiran lebih ramai peminat yang mungkin memecahkan rekod tahun lalu.

Tahun lalu, lebih daripada 59,000 peminat menyaksikan Rossi merangkul gelaran dunia kesembilan dan ke tujuh dalam MotoGP di Sepang.

“Peluang penentuan juara sememangnya suatu yang sangat dinantikan oleh mana-mana litar di seluruh dunia,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: