|
|
BAGI pelakon dan model bernama Ainul Aishah atau lebih mesra disapa Aini, berpeluang melangkah ke dalam bidang seni yang cukup didambakannya sejak kecil memang satu anugerah yang cukup bermakna buat dirinya.
Meskipun sedar saingan yang ada di dalam industri ini bukanlah calang-calang, namun disebabkan minat yang menebal, pelakon yang mula mengukir nama menerusi filem Nana Tanjung arahan Prof. Razak Mohaideen ini akur meneruskan usahanya untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini.
Walaupun namanya dalam bidang lakonan kurang menyinar berbanding pelakon baru seangkatannya, Ain masih lagi menjadi buruan pengarah atau produser untuk berlakon dalam drama terbitan mereka.
Terbaru, gadis berusia 25 tahun itu melebarkan sayap seninya apabila melangkah ke bidang nyanyian.
Mempertaruhkan single berjudul The Old Him Ain dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk membuktikan bakat yang ada dalam dirinya.
Disebabkan Ain mengakui tidak membuat persediaan dari aspek vokalnya, ia mengundang soalan-soalan pedas daripada wartawan-wartawan yang hadir membuat liputan.
Biarpun dikritik masih belum layak diiktiraf sebagai penyanyi kerana tidak mempunyai kualiti vokal, Ain sedikit pun tidak memberikan reaksi negatif, sebaliknya optimis dengan pendapat yang diberikan.
“Sedap atau tidak suara seseorang itu terlalu subjektif untuk dikatakan. Biarlah pendengar yang menilai kebolehan saya sebagai penyanyi.
“Sekiranya ada kekurangan, ia masih boleh diperbaiki. Saya akan mengikuti kelas vokal.
“Paling penting, saya pupuk keyakinan pada diri saya sendiri untuk menyanyi,” jawab Ain yang juga menulis sendiri lirik dan lagu singlenya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: