Saturday, July 31, 2010

Jentera enjin terbaik


ENJIN TFSI bersesaran dua liter yang dipadankan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan S tronic pasti tidak mengecewakan.


AUDI menyasarkan cita-cita untuk menjadi pengeluar kereta mewah nombor satu di pasaran global menjelang tahun 2015. Dengan permintaan kukuh kenderaan Audi di pasaran utama seperti Jerman, Eropah, Amerika Syarikat (AS), China dan Australia secara tidak langsung memberi pengaruh sama ke atas rantau lain. Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara nampaknya tidak terkecuali.

Justeru, pengenalan model Audi A5 Coupe baru-baru ini sememangnya memberi petanda signifikan terhadap visi Euromobil Sdn. Bhd. dalam mengukuhkan jenama tersebut di Malaysia. Menjadi pengimport dan pengedar eksklusif jenama Audi sejak 2003, Euromobil sememangnya komited dalam memberikan produk terbaik kepada para pelanggannya.

Usaha itu berbaloi apabila perkongsian pasaran Audi menyaksikan angkanya meningkat daripada 215 unit (2008) kepada 435 unit pada tahun 2009. Tahun ini, sasaran yang diletakkan ialah sebanyak 700 unit.

Audi A5 Coupe mengangkat falsafah Vorsprung Durch Technik, bermaksud kemajuan menerusi teknologi yang dipegang oleh Audi sejak sekian lama. Jentera dua pintu ini menampilkan reka bentuk yang sporty. Kejuruteraan berteknologi tinggi Audi terserlah melalui rekaan lampu LED yang ada pada setiap sisinya.

Februari lalu, model itu diangkat selaku pemenang Anugerah Reka Bentuk di Jerman. Ia merupakan kemenangan keempat Audi yang sebelum ini diperoleh oleh model Avant, A3 dan A2.

Bercakap tentang prestasi, apa lagi yang anda mahukan daripada unit enjin TFSI penuh kuasa itu? Dinobatkan sebagai International Engine of the Year selama lima tahun berturut-turut, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 211 bhp @ 4,300 - 6,00 rpm dan tork maksimum 350 Nm pada putaran enjin cuma 1,500 - 4,200 rpm sahaja!

Kuasa enjin diagihkan kepada rodanya menerusi sistem kotak gear klac berkembar S tronic tujuh kelajuan. Diseimbangkan dengan pacuan empat roda Quattro, anda boleh mengharapkan aspek pemanduan dan pengendalian yang cukup dinamik.

Biarpun Audi A5 Coupe yang ditawarkan hanya dalam satu varian (S Line), Euromobil bagaimanapun menyatakan kesediaan untuk membawa masuk varian lain andai diminta oleh pelanggan.

Pengerusi Euromobil, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil turut membayangkan pihaknya bakal melaksanakan program pemasangan tempatan (CKD) kenderaan Audi. Sasaran peribadinya adalah menjelang tahun 2012.


AUDI A5 menampilkan rekaan hadapan yang cukup maskulin.


Namun begitu, sebelum beliau dan pasukan Euromobil boleh melobi pihak Audi AG, takat jualan yang perlu dilepasi ialah sebanyak 1,000 unit setahun. Jika melihat kepada trend populariti Audi sekarang, angka itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai.

Sebabnya, Euromobil kini terpaksa menunggu peruntukan kenderaan daripada pihak Audi AG di Jerman bagi memenuhi permintaan tempatan. Keadaan ini membuatkan peminat Audi di Malaysia perlu menunggu lebih empat bulan untuk memandu kereta idaman mereka. Jangan berkecil hati. Masalah itu bukan sekadar berlaku di sini, malah di seluruh dunia.

"Program CKD harus melihat kepada aspek skala ekonomi. Fokus mungkin lebih terarah kepada model SUV kompak Audi Q5 dan sedan Audi A4. Jika semuanya berjalan lancar, proses pemasangan akan dilaksanakan di kilang Hicom di Pekan, Pahang," kata Khamil optimis.

Selari dengan perkembangan jenama Audi, Euromobil mengambil langkah mengukuhkan rangkaian perkhidmatan selepas jualannya. Ia dilaksanakan menerusi penambahan pusat 3S dan terminal di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Johor selain Juru, Pulau Pinang menjelang suku pertama dan kedua tahun hadapan.

Dijual pada harga RM399,900 seunit di atas jalan tanpa insurans, Euromobil meletakkan sasaran jualan sebanyak 20 hingga 30 unit Audi A5 pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: