|
|
MENATAP wajah tua, Syarifah Manaf, tercuit rasa sayu di hati penulis apatah lagi setelah mengetahui cerita dan keperitan di sebalik kehidupan yang dilaluinya.
Pada usia 77 tahun, nenek tua ini tabah mengharungi sisa-sisa hidup bersama anak lelaki dan lima orang cucunya iaitu Mohd. Rafie Mohd. Nor, 14, Nor Hafiza, 14, Nor Shafikah, 12, Mohd. Hafiz, 10 dan Nor Shahidah, 8.
Nyata kehidupan ketujuh-tujuh beranak ini yang menghuni rumah satu bilik di Kampung Sungai Jai, Beranang, Selangor, cukup sederhana biarpun di mata orang lain dilihat seperti ada kekurangan di sana sini.
Namun bagi nenek Syarifah, dia menerima segala ketentuan Tuhan yang dilimpahkan kepada keluarganya dengan hati yang terbuka.
"Biar orang lihat kita miskin duit tapi kita jangan miskin budi bahasa. Bersyukur dengan apa yang ada, kalau kita rasa susah mungkin ada orang lain lebih susah," ujarnya perlahan.
Malah sifat penyayang dan tutur bicaranya yang lembut amat disenangi masyarakat setempat yang tidak putus-putus membantu bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Walau di penghujung usia, dia yang lebih dikenali penduduk sekitar dengan nama timangan 'Incut' kerana tidak pandai merangkak ketika kecil dahulu, gigih mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja sampingan berdekatan dengan rumahnya.
Upah RM3 sehari yang diraih hasil kerja-kerja mencuci pinggan dan periuk di warung berdekatan, baginya memadai untuk membantu meringankan beban anak lelakinya yang hanya bekerja di sebuah kilang di Beranang dengan pendapatan RM700 sebulan.
Manakala seorang lagi anak perempuan nenek Syarifah, tinggal di Kuala Lumpur bersama suami dan hanya pulang pada Hari Raya Aidilfitri.
Ketika mengunjungi teratak nenek Syarifah bersama-sama para sukarelawan Gabungan 4x4 baru-baru ini, penulis turut tertarik dengan sarung bantal yang dijadikan sebagai 'tas tangan' yang dibawanya ke hulu ke hilir.
Memang ia tidak setanding dengan beg tangan jenama-jenama terkenal yang dikepit oleh orang bandar, tetapi itu juga sudah mencukupi untuk nenek Syarifah.
Rutin harian nenek Syarifah setiap hari bermula pada pukul 5.30 pagi. Selepas menunaikan solat subuh, dia menyediakan sarapan pagi untuk cucucucunya sebelum ke sekolah.
Selepas cucunya ke sekolah, pada pukul 7 pagi, dia ke warung di hadapan rumahnya untuk membantu kerja-kerja di bahagian dapur dan pulang pada waktu tengah hari.
Adakalanya selepas selesai kerja di warung, dia berjalan-jalan di kawasan sekitar untuk mencari kerja-kerja tambahan seperti mengemas rumah, menyapu laman rumah dan lain-lain untuk mendapatkan wang tambahan.
Terdetik berbagai persoalan di hati penulis mengenai upah RM3 sehari yang diperolehinya. Apa yang boleh dibeli dengan wang tersebut? Jawapan yang diperoleh sungguh mudah tetapi membuatkan penulis terkesima.
"Saya senang hati. Alhamdulillah semua ini rezeki Tuhan. Apa yang saya dapat, saya jimat-jimat dan kalau ada duit lebih simpan," ujarnya sambil tersenyum tenang.
Menurutnya, RM2 selalunya dibelanjakan untuk membeli ikan dan sayur di pasar dan bakinya RM1 disimpan untuk kegunaan kecemasan ataupun digunakan jika cucunya ingin membeli peralatan sekolah seperti pensil, pen atau pemadam getah.
Sikap jimat cermatnya menyentuh perasaan dan sifat tersebut seharusnya dicontohi golongan muda hari ini.
"Ibu mana yang tidak menyayangi anak dan cucunya lebih-lebih lagi jika mereka ditimpa masalah. Saya tak kisah pun susah yang penting bahagia bersama anak dan cucu-cucu," ujarnya.
Ketika bertemu dengan nenek Syarifah, para sukarelawan Gabungan 4x4 yang diketuai oleh Abdul Halim Abdul Rahman dari Petronas Adventure Team, Red Adventure Team, Bazuka Six, Oscar Lima, Kelab 4x4 Malaysia, Malaysia 4 Whilers, One Ten Adventure Sport, De'Harung 4x4 dan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Melalui Barangan Kitar Semula (CRC) mengambil kesempatan melakukan kerja-kerja amal.
Antara bantuan yang diberikan termasuk membaiki rumah, membaiki talian elektrik, mendermakan pakaian, perabot, basikal, keperluan sekolah dan sumbangan wang ringgit agar dapat meringankan beban mereka sekeluarga lebih-lebih lagi sempena kedatangan Ramadan yang mulia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: