SELEPAS menjalani kehidupan ber jimat cermat, bekas tentera Taiwan, Hu Shou-hung mendermakan segala-galanya yang ada padanya iaitu harta bernilai AS$30,000 (RM96,408) kepada badan amal.
Warga emas berusia 88 tahun yang menyewa sebuah rumah buruk di bandar kecil Hsinpu di utara pulau itu menjadi tajuk-tajuk utama akhbar apabila dia memberikan simpanan sepanjang hayatnya kepada kumpulan veteran perang untuk membantu anak-anak yatim piatu ahli yang meninggal dunia.
"Wang sepatutnya diberikan kepada mereka yang memerlukan. Saya sudah tua dan subsidi bulanan yang diberikan oleh kerajaan sudah cukup untuk menampung hidup," kata Shou-hung yang mendapat AS$420 (RM1,350) sebulan.
Shou-hung merupakan seorang daripada gelombang amal baru yang melanda Taiwan. Di negara itu semakin ramai golongan sederhana yang memberi sumbangan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Apa yang menakjubkan ialah mereka melakukannya tanpa mengharapkan balasan, baik menjadi terkenal atau mahu selamat pada kehidupan seterusnya, tetapi membantu orang lain seikhlas mungkin.
Pemerhati trend itu menyatakan bahawa ia dimulakan oleh Chen Shu-chu, seorang penjual sayur berusia lewat 50-an yang mendermakan NT$10 juta (RM995,651) kepada badan amal khususnya kepada anak-anak yatim.
Dia telah menyumbang selama bertahun-tahun namun perhatian hanya diberikan di Taiwan dan di peringkat antarabangsa selepas majalah Time menamakannya sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada tahun ini.
"Keputusan saya dipengaruhi oleh dia," kata Shou-hung ketika menutup radio, satu-satunya hiburan dalam ruang tamu yang sempit sebelum merenung ke arah dinding yang catnya hampir tertanggal.
"Saya terfikir jika perempuan seperti Shu-chu boleh melakukan pelbagai perkara baik, kenapa tidak saya?" katanya selepas lama mendiamkan diri.
Shou-hung yang enggan disensasikan oleh media di Taiwan telah menyalakan semula minat saling memberi kata badan amal terlibat.
United Way of Taiwan yang beribu pejabat di Taipei dan membantu golongan orang kurang upaya (OKU) menyatakan, sejak beberapa minggu lalu nilai sumbangan yang diperoleh melonjak lebih satu pertiga kepada lebih NT$100,000 (RM9,946).
"Apa yang penting mengenai Shu-chu ialah secara tiba-tiba ramai golongan yang kurang berada memberi sumbangan kecil tetapi secara berterusan.
"Ia adalah satu bantuan besar kepada orang lain," kata Hu Yu-fang dari United Way of Taiwan.
Keghairahan mungkin menurun selepas Shu-chu memilih untuk menyembunyikan diri, namun impaknya akan kekal, demikian menurut beberapa badan amal.
Bekerja 18 jam
"Shu-chu bak benih yang tertanam dengan akarnya menembusi hati ramai orang. Pengaruhnya sangat meluas," kata pekerja sosial kanan di Yayasan Kanak-Kanak dan Keluarga Taiwan di bandar Taichung, Phyllis Weng.
Shu-chu yang dilahirkan dalam keluarga miskin dengan lapan perut perlu diisi, menghabiskan masa 18 jam bekerja sehari bagi mengumpulkan harta sedikit demi sedikit sebelum diserahkan kepada badan amal.
Ketika pakar-pakar tertanya-tanya apakah yang menjadi motivasi kepada komitmen sepanjang hayatnya untuk melakukan perkara baik, penderma yang cukup malu dengan media itu ringkas menyatakan yang dia gembira setiap kali dapat menghulur bantuan.
"Ia memeranjatkan dan menjadikannya unik. Tidak seperti sebilangan kumpulan domestik yang memberi bantuan untuk keselamatan hidup selepas mati dan atas sebab-sebab keagamaan, Shu-chu melakukannya tanpa sebab-sebab tertentu sejak 47 tahun lalu," kata pakar sains sosial, Chang Wei-an di Universiti Kebangsaan Tsing Hua.
Sudah menjadi tradisi, masyarakat Cina mendermakan wang kerana percaya ia dapat menebus dosa-dosa mereka atau saudara mara mereka.
Sebilangan yang lain melakukannya atas sebab lain, seperti peluang untuk menerima rebat cukai daripada kerajaan.
Motif Shu-chu lebih mudah dan mendalam iaitu menyumbang kepada masyarakat. Itu merupakan garis panduan hidup masyarakat Cina sejak berkurun lamanya.
"Cara berfikir sebegini menjadi amalan pelbagai peringkat masyarakat. Ia diturunkan daripada satu generasi ke generasi lain menerusi cerita legenda dan drama, bukan daripada buku-buku," kata Wei-an lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: