|
|
SIAPA kata masyarakat zaman moden kini tiada semangat gotong-rotong dan kejiranan untuk berganding bahu membersihkan persekitaran kawasan perumahan masing-masing.
Semangat gotong-royong seharusnya menjadi tanggungjawab bersama yang harus diterapkan dalam kehidupan seharian bagi mendapatkan kualiti hidup yang sihat.
Sempena sambutan Hari Persekitaran Dunia 2010, kakitangan Hospital KPJ Ampang Puteri mengadakan program gotong-royong bersama penduduk di Flat Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang baru-baru ini.
Lebih 50 kakitangan hospital dan 100 penduduk turun padang dalam program tahunan anjuran KPJ Ampang Puteri itu untuk berganding bahu membersihkan kawasan flat tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ampang Puteri, Mohd. Nasir Mohamed, acara gotong-royong seumpama itu diadakan setiap tahun di sekitar Ampang dengan memilih lokasi yang berlainan.
"Aktiviti ini bertujuan menyedarkan masyarakat tentang kebersihan persekitaran terutama di daerah Ampang yang mencatatkan kes denggi tertinggi di Selangor selain turut menjadi penyumbang kes denggi tertinggi di Malaysia," katanya.
Program gotong-royong tersebut bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari menyaksikan penduduk tanpa mengira kaum bersama-sama membersih dan mengindahkan seluruh flat yang mempunyai 14 blok, terdiri daripada 800 unit rumah.
"Ini merupakan program gotong-royong pertama kali melibatkan kerjasama dengan pihak luar. Sebelum ini, gotong-royong hanya dilakukan atas inisiatif persatuan penduduk melibatkan para penghuni di kawasan flat ini sahaja.
"Diharap lebih banyak pihak luar dapat bersama-sama menganjurkan aktiviti bersama penduduk seperti ini sebagai melunaskan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat," ujar Yang Dipertua Persatuan Penduduk Taman Datuk Ahmad Razali, Mamat Awang.
Sementara kaum bapa sibuk mengutip kayu-kayu terbiar, mencantas pokok yang merimbun, membersihkan longkang dan mengutip sampah, kelihatan kaum ibu melalui Biro Wanita Taman Datuk Ahmad Razali tidak menang tangan menyediakan sarapan dan hidangan makan tengah hari.
Dalam pada itu, sejajar dengan bidangnya, KPJ Ampang Puteri turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, paras glukosa dan pemeriksaan mata.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: