|
|
POPULARITI animasi Upin & Ipin tidak perlu dipertikaikan. Dari kalangan kanak-kanak hingga mereka yang berusia pasti mengenali karakter dua kembar botak yang petah dan menghiburkan itu.
Menyedari hakikat itu, syarikat Les’ Copaque Sdn. Bhd. membuka Geng’s Corner yang terletak di Shah Alam dalam usaha mendekatkan lagi watak serta pendokong rancangan tersebut dengan peminat.
Pengarah Urusan, Burhanuddin Md. Radzi berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan sejak dua tahun lalu hingga mendorong sebuah lagi cawangan dibuka di Putra Height. Selain itu, sebuah Kafe dan Butik Upin & Ipin berkonsep santai turut beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam.
“Asalnya kami hanya ingin menyediakan kantin untuk pekerja menikmati hidangan. Namun kemudian terfikir kenapa tidak dibuka sebuah restoran memandangkan pejabat urusan dan butik juga terletak berdekatan,” katanya.
Geng’s Corner menyediakan menu masakan ala kampung dan sesuai untuk seisi keluarga. Menariknya terdapat menu yang sinonim dengan karakter rancangan itu seperti Nasi Ayam Upin & Ipin, gulai nangka Kak Ros, gulai kawah Opah, sup tulang Tok Dalang dan banyak lagi. Lebih daripada 20 jenis lauk menyelerakan dihidangkan setiap hari dan ia ditukar ganti.
Pada sebelah petang dan malam pula, hidangan ala carte masakan Thai menanti pengunjung seperti tomyam, siakap masak tiga rasa dan sebagainya.
Jangan lupa mencuba Jus Upin iaitu campuran jus oren dan ribena, Jus Ipin; campuran epal dan ribena manakala Jus Kak Ros; campuran tembikai dan ribena.
Sambil menjamu selera, pengunjung boleh mencuci mata dengan poster menarik yang menghiasi dinding.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: