Thursday, July 29, 2010

Max tampilkan rambut berani


Mungkinkah anda gemar dengan dandanan rambut ini?


Gaya kreatif, warna menarik dan potongan moden. Itu tiga ciri yang digabungkan pereka rambut dari Max Style Hair Saloon and Academy, Max Chang Yang sekali gus menobatkannya sebagai juara pertandingan Pencarian Bakat L'Oreal Professionnel 2010.

Dengan kejayaannya mengalahkan 11 peserta lain dalam pertandingan itu, Max membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Max menghasilkan gaya kreatif dengan membuat potongan rambut lebih panjang menutupi mata di bahagian kanan wajah.

Lebih mempersonakan, Max memilih beberapa jenis warna merah terang dan gelap untuk mewarnakan rambut modelnya.

Hasilnya, dalam tempoh kurang setengah jam jari-jemarinya mendandan, Max melahirkan penampilan rambut yang kelihatan lebih berani, moden dan mengagumkan.

Pengarah Urusan L'Oreal Malaysia, Andrew Stanleick berkata, pertandingan yang hebat dan menghiburkan itu bertujuan memberi peluang kepada pereka rambut untuk mempamerkan kreativiti yang dimiliki.

"Pada tahun ini, kami menetapkan tema Menonjolkan Masa Depan Warna Rambut dan setiap peserta perlu mendandan dengan hanya menggunakan produk warna L'Oreal Professional.

"Peserta diberi peluang untuk mereka dan menggayakan rambut model di hadapan lebih 3,000 orang bagi merebut gelaran juara pertandingan.

"Kami juga menganjurkan pertandingan ini sempena memperkenalkan produk terbaru kami untuk kegunaan salon iaitu INOA yang bermaksud 'innovation no ammonia' (inovasi tanpa amonia)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran dan perasmian INOA serta Pencarian Bakat L'Oreal Professionnel 2010 di Arena of Stars, Genting Highlands.

Menurut Andrew, L'Oreal memperkenalkan INOA bagi membantu dan memudahkan pereka rambut mencapai impian dalam menghasilkan gaya lebih kreatif.

Katanya, melalui kepakaran selama 100 yang dimiliki L'Oreal dalam kecantikan diri terutama berkaitan rambut iaitu sejak 1909, ia menjalankan kajian menggunakan teknologi tinggi bagi menghasilkan INOA.

"INOA adalah pewarna rambut kekal yang memiliki pelbagai kebaikan dan faedah termasuk tiada bau, tanpa amonia, keselesaan kulit kepala, memberi sinaran tambahan kepada rambut, menutupi rambut putih secara 100 peratus serta mewarnai sehingga tiga peringkat rambut.

"Ia diperkenalkan dalam 43 warna yang digabung daripada beberapa warna utama iaitu semula jadi, emas, kuprum, merah, mahogani, coklat terang, kuning air terang, coklat gelap, kuning air gelap, violet, kayu dan ametalik.

"Produk terbaru kami ini memfokuskan kepada keselesaan kulit kepala. Jadi ia sesuai untuk kegunaan semua orang termasuk mereka yang sebelum ini tidak sesuai atau bermasalah menggunakan pewarna rambut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: