Thursday, July 29, 2010

Remaja dan sikap terbuka


Al-quran adalah panduan utama umat Islam walaupun kita boleh mengambil manfaat daripada ilmu dari Barat. - Gambar hiasan


KETERBUKAAN tidak sama dengan fahaman liberal. Liberal tidak menjadikan agama dan nilainya sebagai pedoman. Ia berasaskan pendekatan empiris (logik akal) dan tidak mengambil pertimbangan al-Quran sebagai sandaran.

Keterbukaan bermakna kita memperkongsi perkara-perkara yang baik dan bermanfaat daripada sumber tamadun, budaya dan tradisi lain yang sifatnya menyumbang.

Apabila para sahabat mencadangkan kepada Nabi SAW supaya tawanan perang Badar yang mahir membaca dan menulis mengajar anak-anak orang Islam sebagai syarat pembebasan mereka, baginda menyetujuinya.

Dikatakan 17 anak-anak Islam yang belajar membaca dan menulis. Ini menunjukkan keterbukaan dan kebijaksanaan baginda membawa manfaat kepada anak-anak Islam ketika itu, walaupun daripada tawanan perang.

Al-Biruni seorang tokoh ilmuwan Islam yang unggul mempelajari bahasa Hindi apabila menjelajah India. Hasil penguasaan bahasa itu, beliau mendapat ilmu dan maklumat mengenai matematik, sains dan perubatan. Kemudiannya ilmu itu diolah supaya selari dengan syarak dan menjadi sebahagian daripada khazanah ilmu kita.

Tamadun Cina sejak awal lagi menghasilkan kertas, mesin cetak dan bahan kimia. Ia amat bermanfaat bagi orang Islam merakamkan al-Quran dan menghasilkan sebuah mushaf (kitab).

Ini menunjukkan keterbukaan Islam dalam tradisi Islam terhadap ilmu-ilmu berbanding yang menyumbang dan bermanfaat dari Barat serta tamadun lain.

Keterbukaan bagi remaja tidak harus menganggap yang Barat itu segala-galanya. Kekaguman kita terhadap kemajuan dan kemodenan mereka harus diiringi keupayaan menyaring supaya sesuatu yang bermanfaat memberi manfaat yang tinggi.

Golongan remaja amat terdedah untuk meneroka ilmu pengetahuan daripada segala benua dan tamadun. Bersikap terbuka kepada hal-hal yang positif menyumbang dan bermanfaat setelah sekian lama menjadi resmi dalam pembangunan tamadun Islam.

Bersikap terbuka bukan bermakna kita menerima apa sahaja daripada mana-mana budaya dan tamadun.

Mengambil ilmu dari Barat dan Timur harus selari dengan kepentingan nilai-nilai Islam yang mendukung kesejahteraan manusia dan keadilan sejagat.

Namun, dalam masa yang sama, remaja tidak wajar bersikap tertutup dalam lingkungan berfikir terbatas sehingga tidak mampu mengolah perubahan zaman.

Perubahan bagi sesuatu zaman harus didukung nilai-nilai yang sifatnya fitrah. Walaupun teknologi berkembang dalam keadaan yang luar biasa, ia selamanya dilihat sebagai alat, bukan matlamat.

Ia digunakan berasakan pertimbangan yang baik dan memberi kebaikan. Usaha membangunkan teknologi tinggi mesti diimbangi dengan sentuhan keinsanan yang tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: