|
|
NOSTALGIA zaman kanak-kanak merupakan suatu pengalaman yang amat manis. Ia penuh dengan pengalaman yang sukar dilupakan.
Begitulah perasaan yang dirasai ketika memasuki restoran ini. Bagai mengimbau ke zaman silam.
Terletak di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, merupakan sebuah restoran yang dicipta begitu istimewa untuk mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa. Sesuai dengan tagline restoran, Makanan dan Kenangan Yang Anda Sayangi.
Mungkin jika diceritakan kepada anak-anak sekarang tentang permainan konda-kondi, teng-teng, congkak, batu seremban, jentik tutup botol, askar hijau, guli, ikan laga, main getah dan sebagainya, ramai antara mereka yang tidak tahu.
Sementelah anak-anak sekarang terlalu dididik dengan permainan yang bertemakan elektronik.
Hakikatnya, inilah yang cuba disampaikan di Otak-Otak Place, pengalaman dahulu begitu berharga untuk generasi sekarang.
Jangan salah sangka, dinamakan Otak-Otak Place, bukan sekadar makanan otak-otak. Pilihan makanannya lebih daripada itu.
Menurut Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Carol Tay, hidangan yang disediakan juga menyingkap kenangan suatu waktu dahulu.
Diilhamkan oleh pengasasnya, Chew Boon Swee, makanan di sini antaranya ialah kopi-O kaw, otak-otak Muar, mi rebus, laksa asam, nasi lemak panas, roti jala dan pelbagai lagi.
''Ia meliputi lebih daripada 14 jenis otak-otak, 21 hidangan pembuka selera, 32 pilihan hidangan Melayu, 57 jenis minuman termasuk pemanis mulut dan ais krim.
''Pendek kata, apa sahaja yang terlintas untuk hidangan, sebutkan sahaja, pasti ada di sini,'' jelasnya.
Dalam pada itu, pelanggan bukan sekadar dihidangkan makanan yang menyelerakan, mereka akan dihiburkan dengan pelbagai lagu halwa telinga didendangkan dari artis-artis lama tahun 60-an dan 70-an termasuk daripada filem-filem tempatan era tahun-tahun berkenaan.
Hendak lebih lagi, anda juga turut terpesona dengan hiasan yang diketengahkan iaitu lampu minyak tanah, lesung batu, botol air lama, kole lama, basikal tua dan sebagainya.
''Sebaik sahaja tiba ke restoran ini, pelanggan akan diminta untuk memilih tempat duduk yang sesuai. Kemudian kita akan menghantar menu menggunakan buku latihan seperti buku sekolah-sekolah rendah dahulu.
''Kita akan memastikan sebaik pelanggan atau ibu bapa duduk menunggu hidangan tiba, mereka akan berbicara dengan anak-anak mengenai kenangan indah mereka ketika zaman kanak-kanak.
''Sambil menikmati hidangan, mereka juga boleh bermain permainan yang sama dengan anak-anak,'' tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: