SUASANA di sekitar bangunan Pertubuhan Belia Kristian Kuala Lumpur (YMCA) yang terletak di Jalan Padang Belia, melalui Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur pada senja itu cukup sunyi sepi. Walaupun ia terletak di tengah-tengah ibu kota, suasana damai masih boleh dirasai.
Jarum jam menunjukkan ke angka 7.12 malam. Kelihatan beberapa anak muda bersiap-siap mengeluarkan alatan persis tong besar berwarna keemasan dari bilik penyimpannya. Tanpa sepatah pun perkataan diucapkan dari bibir, mereka cukup tekun membawa keluar barang tersebut.
Usai alatan yang dipanggil gendang Cina itu disusun di sebuah ruang yang digunakan sebagai tempat bermain untuk kanak-kanak tadika pada sebelah pagi dan ruang latihan tarian singa pada hari lain, mereka yang berumur dalam lingkungan umur di antara awal 20-an sehingga 30-an itu mula melakukan senaman regangan.
Bermula daripada regangan kepala hingga ke hujung kaki, mereka melakukannya dengan penuh disiplin. Selesai sesi yang berlangsung selama 15 minit itu, kumpulan 14 orang anak muda tersebut terus mendapatkan gendang masing-masing.
Kesunyian petang di ibu kota bertukar bingit saat mereka mula bergendang tetapi irama itu tersusun saat pukulan kolaborasi 14 gendang Cina itu menterjemahkan satu paduan getaran dan bunyi.
Kami turut merasai gegaran pada jantung tatkala menyaksikan mereka mengalunkan irama gendang yang bingit tetapi penuh seni itu. Namun, belum sempat menikmati hiburan tersebut mereka menghentikan pukulan kerana berlaku kesilapan teknik.
Itulah antara rutin yang dilalui oleh skumpulan anak muda yang terdiri daripada lima wanita dan sembilan lelaki pada sesi latihan yang berlangsung setiap Isnin dan Rabu bermula dari pukul 7.30 malam hingga 9.30 malam sementara menunggu jurulatih tiba.
Perkataan Deaf Beat yang tertera pada gendang-gendag Cina tersebut menggambarkan ia adalah sesuatu yang istimewa berbanding gendang Cina lain kerana pemainnya terdiri daripada golongan cacat pendengaran dan bisu. "Mengalunkan sesebuah irama gendang memerlukan semangat dan jiwa," ujar Joseph Liew, 32, dalam bahasa isyarat kepada wakil media sambil diterjemahkan oleh Morley Ng, Pentadbir Orang Cacat Pendengaran di YMCA.
Gegarkan dunia
Joseph yang ditemubual sebelum sesi latihan tersebut dijalankan merupakan ketua kumpulan Deaf Beat. Beliau hadir lebih awal berbanding ahli-ahli lain bagi menyiapkan tempat dan menguruskan ahlinya.
"Kecacatan bukan penghalang kepada kami untuk berdiri setanding dengan insan normal yang lain. Walaupun kami cacat pendengaran dan bisu, kami juga mampu menggegarkan dunia.
"Walaupun tidak mampu mendengar sepenuhnya tapi kami menghayati semangat tersebut melalui rasa daripada getaran gendang Cina ini," kata anak jati Setapak, Kuala Lumpur itu.
Joseph menjelaskan, dengan cara itu beliau dapat mengurangkan tekanan dan memberinya kepuasan kepadanya yang meminati aktiviti memukul genderang sejak kecil.
"Saya mula berminat dengan gendang Cina setelah menyaksikan persembahan tarian singa di rumah jiran ketika umur saya sepuluh tahun. Sejak itu minat saya dalam permainan ini terus berputik," jelas lelaki yang bekerja di sebuah hotel dan mahir membuat kek ais krim itu.
Saat menantikan sesi latihan oleh kumpulan yang telah pun membuat persembahan pada 15 Julai lalu sempena Malam Penghargaan Sukarelawan 2010 bermula, wakil media sempat menemubual salah seorang lagi pemukul genderang, Sandy Lim, 24. Sandy merupakan seorang guru dan kerani.
"Kami tidak mendengar seperti orang lain, tetapi secara tidak langsung tumpuan kepada getaran dari gendang membuatkan kami lebih peka."
"Saya gembira melihat wajah mereka yang teruja selepas menonton persembahan kami di Kemboja baru-baru ini. Itu yang membuatkan kami lebih bersemangat untuk bermain gendang," jelasnya mengenai persembahan yang dilakukan di Phnom Penh pada 4 hingga 6 Julai lalu sempena Asian Festival of Inclusive Arts.
Bernard Goh, 38, selaku individu yang bertanggungjawab mendidik mereka bermula dari mengenali gendang sehingga mampu menggegarkan ruang udara menjelaskan, banyak cabaran yang perlu dilaluinya saat mula menjadi tenaga pengajar sejak awal tahun 2007.
"Komunikasi menjadi masalah utama, namun lama-kelamaan ia semakin mudah kerana selain tunjuk ajar yang saya berikan, saya dapat belajar bahasa isyarat daripada pelajar-pelajar."
"Pendekatan yang berbeza perlu digunakan kerana mereka juga merasa rendah diri dan sensitif. Saya perlu sentiasa mengikut rentak mereka bagi memudahkan proses mengajar," katanya yang turut mempelajari dua hingga lima bahasa isyarat daripada pelajarnya pada setiap sesi.
Medium pembelajaran
Beliau menulis di atas kertas sebagai alternatif untuk berkomunikasi dengan pelajar terbabit.
Bernard yang mengajar irama pukulan 24 Gendang Cina itu turut menggunakan papan putih sebagai medium pembelajaran dengan menulis nota-nota muzik gendang Cina agar mereka boleh mengikut rentak dengan mudah selain faktor komunikasi.
"Saya akan ajar mereka ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan agar mereka dapat melakukan persembahan yang lebih mantap. Elemen-elemen 1Malaysia akan diterapkan seperti irama joget, dangdut dan suntikan elemen rebana.
"Apa yang pasti semangat yang mereka tunjukkan amat tinggi sehingga mampu memberi persembahan yang bertenaga. Mereka memerlukan sokongan masyarakat untuk meningkatkan keyakinan diri," jelas Bernard yang mula belajar bermain gendang Cina sejak dua dekad lalu di kampung halamannya, Seremban. Baru-baru ini sempena majlis Anugerah Seni Boh Cameronian (Cammies) kumpulan itu telah mendapat sumbangan sebanyak RM8, 800 hasil kutipan derma pada majlis meraikan penggiat seni itu berlangsung.
"YMCA menjadikan pengiktirafan daripada Cammies sebagai batu loncatan untuk membuka mata dunia dalam mengangkat golongan cacat pendengaran setanding masyarakat normal. Ia jelas memberi suntikan semangat kepada mereka.," kata
"Sumbangan itu akan digunakan sebaiknya bagi memajukan lagi kumpulan ini agar mereka menjadi contoh kepada golongan cacat pendengaran yang lain. Mereka perlu berada di dalam masyarakat seperti orang lain," ujar Ahli Lembaga Pengarah YMCA, Wan Thong Choon.
Menurut Thong Choon, perbelanjaan untuk golongan itu di YMCA mencecah lebih RM5,000 sebulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: