Saturday, July 31, 2010

V versi baru


V meraih 143 juta penonton di Amerika.


MEREKA hadir di bumi dengan penampilan seperti manusia biasa. Namun, di sebalik kulit manusia, mereka merupakan makhluk asing yang mempunyai perancangan terselindung. Muncul serentak dengan kapal angkasa di 29 bandar besar di dunia, mereka diketuai oleh Anna yang berpenampilan cantik.

Meyakinkan manusia bahawa mereka datang secara damai, ejen anti-keganasan Erica Evans bagaimanapun meragui keikhlasan 'pendatang tanpa izin' itu. Malah, Erica mendapati makhluk asing itu sudah berada di bumi beberapa dekad lalu.

Menjadi pengintip, makhluk asing itu yang sudah bersedia untuk menakluki dunia memenangi hati manusia dengan menyembuhkan penyakit serta menyatukan remaja termasuk anak Erica, Tyler. Berjayakah makhluk asing tersebut menawan dunia? Apa pula perancangan manusia untuk menumpaskan mereka?

Drama bersiri V yang ditayangkan pada setiap Sabtu bermula 24 Julai lalu pukul 8.30 malam di saluran ntv7 akan merungkai lanjut plotnya.

"Seperti yang diketahui ramai, drama V pernah ditayangkan pada tahun 1980-an. Disebabkan popularitinya, ia dibikin semula dengan menggunakan teknologi terbaru. Versi 2009 ini pasti ditambah dengan lebih banyak aksi dan kesan khas," kata Pengurus Besar ntv7, Airin Zainul pada sidang media mempromosikan drama tersebut.

Dibintangi oleh Elizabeth Mitchell, Morris Chestnut, Lourdes Benedicto, Joel Gretsch dan Scott Wolf, siri itu telah meraih rating tinggi pada tayangan perdananya di Amerika Syarikat dengan jumlah penonton mencecah 14.3 juta.

Disifatkan sebagai salah sebuah drama terbaik oleh media antarabangsa, pembikinan semulanya memberikan identiti tersendiri yang berbeza daripada pengolahan asal.

"Efek dan gabungan pelakon akan membuatkan anda mahu menyaksikan keseluruhan siri tersebut walaupun hanya menonton lima minit pertama.

"Kami di ntv7 teruja kerana dapat menayangkan V kepada audiens tempatan memandangkan siri tersebut mendapat sambutan hebat di negara luar," sambung Airin mengenai siri sebanyak 13 episod itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: