|
TIDAK pernah serik. Mungkin itu perkataan paling tepat apabila ada saja laporan mengenai individu yang kerugian puluhan malah ratusan ribu ringgit dek tertipu dengan pelaburan dalam skim cepat kaya.
Peliknya ia bukan sekadar membabitkan orang biasa malah golongan cerdik pandai, pegawai-pegawai kanan kerajaan malah para selebriti terkenal.
Berdasarkan carian di laman sesawang Wikipedia, skim cepat kaya ditafsirkan sebagai satu skim di mana seseorang akan melaburkan sejumlah wang kepada penganjur skim dengan ikatan janji bahawa ia akan dipulangkan kepada individu berkenaan bersama nilai dan keuntungan tambahan.
Pulangan yang diterima kononnya lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan institusi berlesen.
Di negara ini, skim cepat kaya dikhabarkan bermula pada 1970-an dan antara yang popular ketika itu adalah Skim Pak Man Telo yang mana disertai 50,000 orang pelabur membabitkan aset bernilai RM90.9 juta.
Selain Skim Cepat Kaya Pak Man Telo, dua jenis skim cepat kaya yang mendapat sambutan di negara ini adalah Skim Piramid dan Skim Ponzi.
Ringkasnya, Skim Piramid adalah satu skim perkiraan bagi sesuatu pengedaran atau penjualan barangan yang diperdagangkan.
Seseorang itu akan mendapat faedah wang yang tidak bergantung pada kuantiti barang dan perkhidmatan dijual atau diedarkan kerana ia diasaskan kepada penajaan seorang serta lebih peserta ke dalam skim berkenaan.
Manakala, Skim Ponzi adalah operasi pelaburan penipuan membabitkan janji pulangan (keuntungan) berganda yang luar biasa kepada pelabur daripada wang pelaburan dibayar seseorang pelabur.
Keuntungan berganda yang dijanjikan dalam jangka waktu pendek untuk menarik pelabur bukannya daripada pendapatan bersih yang dihasilkan melalui sebarang perniagaan sebenar.
Dinamakan sempena nama Charles Ponzi, penjenayah yang menjadi terkenal kerana menggunakan teknik ini selepas berhijrah dari Itali ke Amerika Syarikat pada 1903.
Sifat semulajadi Skim Ponzi adalah ia tidak kekal dan cuma menunggu masa untuk si penipu melarikan wang mangsa.
Laporan akhbar dan kenyataan daripada pakar kewangan membuktikan terdapat beberapa punca utama menyebabkan seseorang terjerumus menjadi mangsa skim cepat kaya.
Kurang memahami atau tidak mempunyai pengetahuan mengenai konsep sebenar perniagaan skim cepat kaya menjadikan seseorang mudah dipengaruhi untuk menyertai skim itu.
Pada masa sama, bukti menunjukkan kebanyakan mangsa adalah bangsa Melayu kerana sememangnya dari dahulu, kita sering mendengar golongan itu gemarkan kemewahan cepat serta mudah.
Bukan ingin memperkecilkan orang Melayu, tetapi bukti menunjukkan dan satu daripadanya apabila beratus ribu orang Melayu dilaporkan mengalami kerugian dalam bentuk wang selepas diperangkap menyertai Skim Cepat Kaya Pak Man Telo.
Pelbagai bentuk pulangan seperti 50 peratus, 80 peratus dan 100 peratus keuntungan yang dijanjikan pengusaha membuatkan seseorang ‘gelap mata’ serta merasa bodoh jika melepaskan peluang itu.
Bagaimanapun, pelaburan yang dilakukan terutama lebih daripada sekali akan mewujudkan tiga perkara iaitu pengasas skim hilang bersama wang pelabur, skim akan gagal akibat terlalu ramai ahli untuk diberi pulangan berganda dan skim ini terdedah kepada pengetahuan pihak berkuasa, menyebabkan pelabur ‘gigit jari’ menanggung kerugian.
Pakar Ekonomi yang juga Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Amir Baharuddin berkata, sikap orang Melayu yang suka berkhayal untuk kaya cepat tanpa ingin berusaha kuat adalah punca utama mereka terjerumus menjadi mangsa skim cepat kaya.
“Saya sedang menulis buku mengenai sikap orang Melayu dalam soal ekonomi dan satu daripada hasil kajian yang saya lakukan untuk menyiapkan buku ini menunjukkan sikap ingin kaya cepat tanpa mahu rajin berusaha adalah asas sikap sesetengah orang kita.
“Dalam ajaran Islam jelas mengatakan, Allah SWT meminta seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki.
“Mana ada orang yang mendapat rezeki banyak tanpa usaha berganda,” katanya ketika dihubungi MEGA baru-baru ini.
Amir memberitahu, beliau sendiri pernah didekati pengusaha Skim Cepat Kaya Pak Man Telo suatu ketika dahulu yang mempelawanya mendengar seminar mengenai skim atau pelaburan berkenaan.
Katanya, beliau dan beberapa rakannya menyertai seminar itu kerana sebagai seorang yang terbabit dalam bahagian ekonomi, beliau ingin mengetahui selok-belok skim berkenaan.
Menurut Amir, beliau akhirnya mengajak rakan-rakannya pulang kerana tidak mempercayai skim itu mampu mendatangkan pulangan sama ada memberi semula asas wang pelaburan atau gandaan keuntungan.
“Saya menasihatkan orang ramai jangan mempercayai dan menyertai skim cepat kaya kerana skim itu tidak akan memberi kekayaan.
“Fikirlah jika institusi kewangan yang disokong kerajaan pun ada ketika tidak mampu memberi pulangan sebanyak lima peratus, bagaimana skim cepat kaya yang diasaskan seorang individu mampu memberi jaminan pulangan terlalu tinggi.
“Lebih baik anda simpan di institusi kewangan kerajaan seperti bank dan amanah saham kerana walau keuntungannya sekecil mana, wang pokok anda tetap ada dan terjamin. Jangan hanya kerana ingin kaya cepat akhir hidup melarat,” ujarnya.
Kesan kerugian yang ditanggung akibat skim cepat kaya juga akan membuatkan pelabur menanggung rasa malu yang menebal.
Pelabur yang membuat pinjaman semata-mata untuk menyertai skim seperti ini terpaksa melarikan diri atau bersembunyi kerana sering dikunjungi pemiutang.
Bukan setakat itu, pelaburan seperti ini boleh menimbulkan pertelingkahan dan mengeruhkan hubungan antara keluarga, jiran serta masyarakat apabila mereka mempercayai satu sama lain dan menyertai skim yang sama.
Wujud juga kes yang mana pasangan suami isteri bercerai-berai akibat kerugian dalam skim cepat kaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: