Thursday, July 29, 2010

IAFS bukti kejayaan Islam Ayutthaya


Salah sebuah masjid yang terletak di tepi sungai Nam Pa Sak.


Insiden berdarah dan ketegangan yang berlaku di Thailand termasuk di selatan negara itu sering mengundang persoalan adakah benar orang Islam di negara itu sering ditindas dan didiskriminasi?

Apa pula peluang pendidikan dan kerjaya masyarakat Muslim Thailand? Sebabnya mereka hanya kira-kira 10 juta daripada 64 juta rakyat Thailand yang majoritinya penganut Buddha.

Bagi menjawab persoalan-persoalan yang bersarang dalam sebahagian besar kepala kita di Malaysia, dinukilkan hasil kunjungan rombongan ke Islamsri Ayutthaya Foundation School (IAFS).

Ayutthaya terletak kira-kira 76 kilometer (km) dari Bangkok. Perjalanan menaiki bas ke sana mengambil masa kira-kira 90 minit.

Destinasi yang pernah menjadi ibu negara Thailand itu juga dikenali sebagai Venice Asia kerana kedudukannya yang dikelilingi Sungai (Menam) Chao Phraya dan Sungai Nam Pa Sak.

Mengikut sejarah, bandar itu ditemui oleh Raja U-Thong pada tahun 1350 yang kemudiannya mengisytiharkan Ayutthaya sebagai ibu negara.

Bagaimanapun, kota bersejarah yang mempunyai banyak wat dan masjid itu dimusnahkan selepas ia ditawan oleh Burma pada tahun 1767. Sekali gus menyaksikan ibu negara Thailand berpindah ke Bangkok.

Rombongan diketuai Menteri di Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur, Kamthorn Sithichoti dan Setiausaha Pertama, Romdej Phisalaphong.

Dalam lawatan bertajuk Bagaimana Muslim Thai Hidup Dalam Negara Majoriti Buddha, ia turut membawa bersama tujuh pemimpin persatuan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini.

Setibanya di sekolah tersebut, kami diberi sambutan mesra oleh Pengarah Yayasan, Musa Abdul Kadir dan Pengetuanya, Hassan Hanafi.

Daripada segi prasarana, ia persis sekolah berasrama penuh di negara kita. Di sebelah pintu masuknya terdapat beberapa gelanggang bola jaring.

Ia turut dilengkapi dua gelanggang bola tampar selain padang bolasepak. Semuanya untuk menampung kegiatan riadah 1,800 pelajarnya yang berusia antara tiga hingga 18 tahun.

Menurut Hassan, sekolah persendirian yang asalnya kecil dibina bangunan baru pada tahun 1970.

Ia antara lain mengandungi masjid, dua kantin, dua gelanggang bola tampar, makmal komputer dan juga makmal sains dan teknologi.

“Pengasas sekolah ini ialah Musa Hanafi di mana ketika itu ia lebih kepada mengajar mengaji kepada kanak-kanak di sini.

“Bagaimanapun, selepas Perang Dunia kedua, tapak sekolah berpindah ke lokasi sekarang dan ia kekal sehingga kini,” katanya.

Walaupun berstatus sekolah persendirian, kerajaan Thailand membiayai 70 peratus kos pengubahsuaian bangunan. Kini murid-murid mengikuti pengajian dalam tiga bahasa iaitu bahasa Thai, bahasa Inggeris dan Arab.

Kata Hassan, adalah menjadi hasrat pihaknya untuk menambah bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ini kerana, sebahagian besar lepasan sekolah itu menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam Malaysia selain ke Asia Barat.

“Setakat ini, kita boleh berbangga kerana telah melahirkan 13 orang doktor perubatan. Antara ulama yang lepasan sekolah ini ialah Wakil Penasihat kepada Sheikhul Islam Thailand iaitu Prof. Dr. Imron Bahardin Malooleem,” tambah beliau.

Antara praktis di sekolah itu adalah murid-murid tinggal bersama keluarga angkat persis konsep inap desa.

Menurut Hassan, sebelum ini pihaknya ada menyediakan asrama untuk murid-murid tetapi disebabkan beberapa masalah ia terpaksa dihentikan.

Katanya, pengajian yang ditawarkan pula bermula daripada nurseri untuk umur tiga hingga enam tahun sehinggalah ke tahap empat thanawi (18 tahun).

Yuran persekolahan adalah kira-kira RM175 satu semester. Bagaimanapun, yuran bagi nurseri lebih sedikit kerana termasuk duit makan dan minum.

Pada masa yang sama, murid-murid perempuan turut didedahkan dengan seni kraftangan. Ia bersumberkan bahan-bahan terpakai yang kemudiannya dijadikan bunga perhiasan dan cenderamata.

Semua ini dilakukan menyedari pentingnya umat Islam dibekalkan ilmu pengetahuan yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi.

Sebabnya, orang yang berilmu itu sentiasa dihormati dan disegani oleh masyarakat. Selain itu, ilmu jugalah yang mampu mengubah hidup seseorang sehingga mencapai kejayaan.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan pengetahuan dengan kelebihan beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

Ganjaran bagi yang menuntut ilmu juga adalah syurga. Ia sebagai mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Siapa merintis jalan mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. (riwayat Muslim)

Hassan berkata, sekolah itu mengamalkan sistem pembelajaran dua semester setahun di mana setiap semester akan diadakan peperiksaan.

Mata pelajaran umum adalah mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh kerajaan manakala mata pelajaran agama pula ditetapkan oleh pihak sekolah.

Pada setiap solat Jumaat, murid-murid akan membaca khutbah selain diadakan usrah untuk meningkatkan kefahaman tentang Islam.

Kemasyhuran sekolah itu menyebabkan ia menjadi tumpuan ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing ke situ.

Oleh itu, kata Hassan, pihaknya terpaksa membuat ujian bagi memilih mereka yang layak.

“Penekanan kita adalah kepada pengetahuan agama dulu kemudian baru bab umum. Kalau calon dapat 40 markah, baru dikira lulus dan boleh masuk,” jelasnya.

Perhubungan sosial masyarakat berbilang kaum di sini juga adalah baik di mana mereka dapat hidup bersama walaupun berlainan agama dan kepercayaan.

Ini dibuktikan dengan banyaknya wat, masjid dan juga gereja yang terletak bersebelahan tetapi masyarakatnya hidup harmoni dan aman damai sebagai mana yang dinikmati di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: